Setiap sen dibelanja wang rakyat, pesan Rafizi

Setiap sen dibelanja wang rakyat, pesan Rafizi

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli beberapa kali mengingatkan rakan-rakan pimpinannya di Pakatan Harapan (PH) supaya menyedari tanggungjawab yang ada jauh lebih besar berbanding ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

Menurutnya, ketika berada di posisi pembangkang hanya perlu melawan dan mendedahkan kepincangan kerajaan tetapi nasib 30 juta rakyat Malaysia sekarang terletak di bahu pimpinan PH yang sudah mendapat mandat di Putrajaya.

“Saya minta sahabat-sahabat yang berada dalam kerajaan PH sedar bahawa setiap satu sen yang anda belanjakan adalah wang rakyat.

“Saya ingatkan sahabat-sahabat pimpinan PH bahawa yang memangkah kita bukan tokoh, parti, atau individu, yang memenangkan dan mengangkat kita adalah rakyat,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Merdeka Rakyat di Petaling Jaya, Selangor malam tadi.

Kerap diganggu sorakan penyokong yang melaungkan namanya, bekas Ahli Parlimen Pandan itu memberitahu buat pertama kali selepas berpuluh tahun parti pembangkang wujud berlakunya liputan lintas langsung di televisyen.

“Malam ini saya sedar kita bukan saja beribu-ribu berada di sini. Kita juga ditonon jutaan rakyat Malaysia melalui televisyen.

“Saya mahu beri peringatan kepada sahabat-sahabat pimpinan PH, selama berpuluh tahun kita jadi pembangkang, bila kita jadi kerajaan di Putrajaya dan di negeri-negeri, kita tahu susah payah kita apabila kerajaan Persekutuan terdahulu tidak berlaku adil kepada kita.

“Sebab itu saya minta kita perlu sayang kepada pembangkang kerana mereka ada tugas untuk menjaga kita.

“Untuk sahabat-sahabat yang berada di BN dan di dalam Pas bahawa saudara-saudari ada tugas yang besar sebagai pembangkang untuk memastikan hak rakyat akan diangkat sampai bila-bila,” serunya.

Sehubungan itu, Rafizi menggesa supaya TV3, RTM, Utusan Malaysia dan semua media berkaitan supaya bersikap adil kepada PH, BN dan Pas.

“InsyaAllah, tahun ini Ramadan tiada GST,” selorohnya sebelum mengakhiri ucapan ringkasnya.

Antara yang turut memberi ucapan dalam program meraikan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Ahmad; Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saiffudin Abdullah; Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah dan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.