‘Rumah rakit’ milik A Bakar Che Ahmad di Kemaman, Terengganu kembali menjadi tumpuan ramai selepas ia sekali lagi berjaya terapung dalam banjir.
Beberapa video mengenai keadaan terkini rumah tersebut dikongsikan pengguna media sosial yang merupakan penduduk di sana.
Ramai yang kagum dengan keutuhan binaan rumah itu setelah bertahun-tahun, termasuk idea kreatif pemiliknya yang mesra disapa Pokwe.
Namun timbul persoalan dalam kalangan pengguna, mengapa penduduk di negeri yang kerap dilanda banjir tidak menggunakan teknik sama seperti Pokwe?
Untuk rekod, rumah terapung milik Pokwe menggunakan 69 tong plastik berwarna biru yang berfungsi sebagai pelampung.
Tetapi tong plastik bukan satu-satunya bahan yang diperlukan untuk menghasilkan rumah terapung.
Seperti pernah dilaporkan media tempatan pada 2022, Pokwe yang berusia 69 tahun itu melakukan pengubahsuaian berskala besar yang menelan kos kira-kira RM47,000 untuk menghasilkan rumah terapung berkenaan.
Kos itu dikumpul bersama anak-anaknya.
Selain tong plastik, beliau menggunakan kira-kira 54 keping papan fascia untuk menghasilkan sebuah rumah bersaiz 70 kaki persegi dan setinggi 5.8 meter.
Rumah binaan itu mampu terapung pada musim banjir pada ketinggian sehingga lima meter.
Rumah itu juga diikat pada dua tiang setinggi enam meter yang dibina pada sisi kiri dan kanan.
Maka dengan modal yang agak keras, bukan semua orang mampu mengeluarkan duit mengubah suai rumah mereka untuk menjadikan rumah terapung seperti di Terengganu ini.
Baca juga: Jadi pilihan semasa musim banjir, peniaga mampu jual hampir 700 kilogram ubi sehari