Setiap tempat, masa ada neraca tersendiri

Setiap tempat, masa ada neraca tersendiri

Tuhan menurunkan kitab (al-Quran) dan mizan (neraca). Kedua-duanya perlu berjalan serentak tanpa ada mana-mana satu yang terabai supaya keadilan tertegak.

Setiap perkara ada mizan (neraca) yang tersendiri. Tidak tepat mengambil neraca perkara lain untuk mengukur perkara lain.

Tak boleh ambil neraca hamba untuk dipadankan dengan Tuhan, atau neraca kehidupan dunia untuk mengukur kehidupan akhirat.

Contohnya, setiap makhluk diciptakan oleh Tuhan, maka siapa pula yang menciptakan Tuhan?

“Diciptakan” adalah neraca hamba. Tak boleh tanya siapa yang ciptakan Tuhan sebab “diciptakan” tak boleh jadi neraca yang terpakai kepada Tuhan.

Begitu juga, pegangan Allah tak boleh dilihat di akhirat kerana melihat memerlukan wujud sesuatu secara fizikal, seperti Allah tak boleh dilihat di dunia.

Allah boleh dilihat di akhirat walaupun tak boleh dilihat di dunia kerana neraca dunia dan akhirat berbeza. Alam akhirat ada neracanya yang tersendiri. Tak boleh guna neraca dunia untuk mengukur alam akhirat.

Demikian halnya dalam pelaksanaan syariah di Malaysia. Negara ini punya neraca tersendiri yang perlu diambil kira sama seperti Rasulullah mengambilkira neraca Madinah dalam pelaksanaannya di sana.

Setiap tempat dan masa ada neracanya tersendiri. Pada zaman dahulu ada jizyah, kerana sistem kewarganegaraannya adalah agama.

Pada hari ini, sistem kewarganegaraannya bukan agama tetapi ditentukan oleh undang-undang. Justeru, jizyah tak sesuai dilaksanakan kerana berbeza neraca dalam sistem kewarganegaraan.

Begitu juga tak boleh lantik orang kafir sebagai pemimpin dalam bab wala’, neracanya ialah wujud permusuhan terhadap Islam dan umatnya atau tidak.

Jika orang kafir itu memusuhi Islam, maka haram dia diambil sebagai auliya’, tetapi jika tidak memusuhi Islam, harus, bahkan diperlukan jika dia punya kebolehan yang tidak ada pada orang Islam.

Dalam hubungan dengan orang bukan Islam, tak sesuai guna neraca suasana perang untuk suasana aman. Neraca suasana perang dan suasana aman adalah berbeza.

Malaysia kini bukan dalam kancah peperangan seperti Badar, Uhud, Khandak atau Hunain. Dalam suasana itu, jangankan ambil orang kafir sebagai auliya’, ucapkan selamat pagi untuk mereka juga dilarang.

Tak sesuai ambil neraca suasana perang untuk diaplikasi kepada suasana aman seperti kini di Malaysia.

Justeru, dalam suasana aman, seorang pekerja boleh ucapkan selamat pagi untuk bosnya yang kafir sama seperti pelajar sekolah ucapkan selamat pagi kepada guru mereka yang kafir apabila dia masuk ke kelas.

Bahkan mengucapkan “merry christmas” atau seumpamanya sebagai melahirkan kegembiraan bersama kegembiraan mereka bukanlah sesuatu yang tertegah secara mutlak, kerana kita dan mereka hidup dalam sebuah negara yang aman.

Mungkin inilah sebahagian konflik dalam berfikir yang membelenggu sebahagian orang iaitu gagal untuk memahami neraca sesuatu dan menempatkan neraca itu pada posisinya yang sahih.