Setiausaha Agung PBB sambut baik rundingan Intra-Yaman di Sweden

Setiausaha Agung PBB sambut baik rundingan Intra-Yaman di Sweden

Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, Khamis mengalu-alukan rundingan intra-Yaman yang berlangsung di Sweden dan menggesa pihak terbabit agar bertolak ansur, berunding dengan hati luhur serta tidak meletakkan syarat awal, lapor agensi berita Xinhua.

“Setiausaha Agung menyeru pihak bertelingkah supaya terus meredakan ketegangan di Hudaydah dan mencari langkah bagi memulihkan keadaan yang ketika ini mengancam kemanusiaan dan ekonomi,” kata jurucakap Guterres, Stephane Dujarric, menerusi satu kenyataan.

Guterres mengingatkan pihak terbabit bahawa rundingan mencari penyelesaian politik yang menyeluruh menerusi dialog intra-Yaman ini adalah kaedah tunggal menamatkan konflik serta menangani krisis kemanusiaan.

Pihak yang bertelagah di Yaman mengadakan rundingan di Stockholm di bawah seliaan PBB.

Yaman berada dalam kancah perang saudara sejak tiga tahun lalu membabitkan pertempuran antara puak Houthi menentang pasukan yang setia kepada kerajaan  Abdrabbuh Mansur Hadi. Perikatan tentera yang diterajui Arab Saudi berjaya mengembalikan kerajaan Hadi.

Penolong Setiausaha Agung bagi Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, Mark Lowcock sekembalinya daripada lawatan ke negara itu pada minggu lalu, memberi amaran, Yaman kini di ambang bencana.

— BERNAMA