Malaysia Dateline

Setiausaha Agung Umno mohon kes dibicara di Mahkamah Tinggi

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini atas dua tuduhan iaitu gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada Datuk Seri Najib Razak dan memberi pernyataan palsu.

Bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu membuat pengakuan tersebut selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh.

Tahun lalu, Ahmad, 55, yang juga Ahli Parlimen Pontian mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 21 Januari 2020 di atas semua pertuduhan tersebut.

Walau bagaimanapun, Mahkamah Tinggi pada 13 Julai lalu membenarkan permohonan Ahmad agar kes itu dipindah dan dibicarakan dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Menurut pertuduhan pertama, Ahmad didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di ibu negara.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Ahmad dituduh memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd. Zairi Zainal antara pukul 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek tersebut.

Pertuduhan tersebut dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar kemudian memohon agar jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin dan serahan pasport kepada mahkamah seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen pada sebelum ini dikekalkan.

Peguam Hamidi Mohd. Noh yang mewakili bekas Timbalan Menteri Kewangan itu memaklumkan pihaknya tidak bantahan terhadap perkara tersebut.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pendakwaan agar jumlah jaminan dikekalkan.