Malaysia Dateline

Setiausaha Agung Warisan bidas Hajiji

Ketua Bersatu Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dibidas seolah-olah tidak berupaya mengangkat maruah Negeri Sabah apabila beliau terus mengulangi pendiriannya bahawa rakyat di negeri itu sebenarnya memerlukan pertolongan daripada Kerajaan Persekutuan.

Setiausaha Agung Warisan, Loretto Padua Jr. berkata, Sabah tidak boleh lagi terus diumpan dengan pelbagai janji-janji peruntukan oleh Perikatan Nasional (PN) dan Umno.

Malah katanya, perkara tersebut bakal menjadi perjuangan WarisanPlus di peringkat Nasional demi membebaskan Sabah dari cengkaman BN yang selama ini mengatakan bahawa Warisan lemah dan tidak mampu berdiri sendiri.

“Apa yang mencetus kemarahan apabila rakyat Sabah dianggap bodoh selepas Muhyiddin pada 31 Ogos lalu, mengatakan bahawa pembangunan akan menjadi lebih mudah sekiranya parti politik yang mentadbir Sabah sealiran dengan Perikatan Nasional yang mentadbir Putrajaya.

“.. Dan pada 18 September yang lalu, Muhyiddin sekali lagi datang dan mengatakan bahawa peruntukkan bukan mandatori akan terjamin atas alasan yang sama iaitu keselarian politik antara Sabah dan Persekutuan.

“Ingin saya nyatakan kepada Hajiji di sini bahawa tidak ada peruntukan dalam Perlembagaan Malaysia ataupun Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mengatakan bahawa keselarian politik antara Sabah dan Persekutuan harus ada untuk menjamin pembangunan, pemberian peruntukan bukan mandatori dan pengagihan Belanjawan Tahunan untuk Sabah,” tempelaknya dalam satu kenyataan hari ini.

Loretto juga menegaskan, ketidak-adilan dengan menggunakan agenda politik dalam mengagihkan peruntukan pembangunan serta belanjawan tahunan akan ditentang habis-habisan oleh Warisan.

Menurutnya, rakyat sudah bosan melihat gelagat pemimpin-pemimpin tertinggi Umno dari seberang yang datang ke Sabah dan menjanjikan peruntukan demi peruntukan.

Walhal katanta, Sabah sudah menyumbang berbillion-billion ringgit dari petroleum dan kelapa sawit mereka kepada Kerajaan Persekutuan.

“Warisan akan membawa isu mengenai keselarian politik antara Sabah dan Persekutuan di peringkat Parlimen sebelum PRU15 diadakan dan saya pasti, kita ada rakan-rakan dari Selangor dan Pulau Pinang yang dapat membantu kita dalam perkara ini.

“Perkara ini amat serius dan perlu diselesaikan di peringkat tertinggi kerana parti-parti politik yang mentadbir Kerajaan Persekutuan tidak boleh menggunakan hasil kutipan Kerajaan yang disatukan ini untuk tujuan menarik hati pengundi di Sabah dengan janji peruntukan yang lebih besar atau bukan mandatori,” katanya lagi.

Tambah Loretto lagi, WarisanPlus berkeupayaan untuk mencorak sistem pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang berhemah dan adil pada PRU15 yang akan datang dan rakyat Sabah harus terus memberi sokongan kepada calon-calon WarisanPlus pada 26 September ini.

“Kita maafkan pemimpin-pemimpin Bersatu Sabah yang lemah seperti Hajiji Mohd Noor, Masidi Manjun dan Azizah Mohd Dun yang tidak berani berdiri dan mempertahankan martabat dan maruah Negeri ini dan kita undi calon-calon WarisanPlus sebagai tanda simbolik yang kita tidak mahukan calon-calon katak dan yang lemah,” ujarnya.