Malaysia Dateline

Setiausaha Akhbar Annuar Musa dakwa Zahid khianati Umno

Selepas bosnya Tan Sri Annuar Musa menyerang Presiden Umno, kini Setiausaha Akhbarnya, Tun Faisal Ismail Aziz pula menyerang Datuk Seri Ahmad Zahid.

TUN FAISAL, Setiausaha Akhbar Annuar Musa menyifatkan Zahid khianat bila mahu bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Serangan ini dibuat selepas Annuar dipecat sebagai Setiausaha Agung BN dan juga Setiausaha Agung Muafakat Nasional (Mn).

Tun Faisal dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia berkata, Zahid telah mengkhianati parti apabila membuat akuan bersumpah menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menggerakkan jajaran politik baharu melibatkan kerjasama Umno, PKR dan DAP.

Menggunakan jawatan beliau sebagai Timbalan Ketua Bahagian Umno Putrajaya, Tun Faisal berkata, perkara itu merupakan soal pokok yang tidak boleh dikompromi sama sekali.

Katanya, beliau tidak ada masalah untuk mempertahankan institusi Presiden, tetapi perkara itu agak sukar dilakukan kerana Presiden sendiri mengkhianati parti.

“Saya akan pertahankan institusi selagi tidak khianati parti. Masalahnya presiden sendiri khianati parti.

“Pendedahan Annuar semalam seperti mendedahkan salah laku seorang Presiden tentang wujudnya sokongan kepada Anwar secara sembunyi tanpa pengetahuan pemimpin UMNO/BN lain apatah lagi akar umbi,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Semalam, Ahli Parlimen Ketereh mendedahkan antara punca dirinya digugurkan sebagai Setiausaha Agung BN disebabkan isu akuan bersumpah itu.

Dalam pada itu, Tun Faisal berkata, dalam menyelesaikan kemelut politik ketika ini, Ahmad Zahid perlu membuat akuan bersumpah tidak akan bekerjasama dengan Anwar dan DAP.

Ini termasuk, katanya, menghentikan jajaran politik baharu sebagai istilah menyembunyikan sokongan secara rahsia beliau itu.

“Jika Presiden buat (akuan bersumpah) ini maka kita boleh sokong semula beliau.

“Selagi Presiden tak berani buat dan tak mahu arahkan untuk hentikan jajaran politik baharu ini, selagi itu takkan selesai,” katanya.