Malaysia Dateline

Setiausaha Akhbar Hishamuddin buat laporan polis

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membuat laporan polis susulan surat yang mengaitkan pemimpin Umno itu memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menjadi Perdana Menteri baharu.

Mohd Hafiz Ariffin, berkata laporan polis berkenaan dibuat bagi menafikan kesahihan surat yang direka dengan menggunakan kepala surat Bendahari Agung Barisan Nasional (BN), tandatangan Hishammuddin serta cop perakuan penerimaan surat oleh Bahagian Khidmat Pengurusan Istana Negara itu.

Hafiz meminta supaya pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 469 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 463 dan Seksyen 464(a) kanun yang sama serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Saya percaya bahawa surat palsu ini dibuat dan disebarkan dengan niat untuk memburukkan reputasi beliau serta mewujudkan kekeliruan orang ramai.

“Surat palsu ini adalah taktik kotor pihak yang berkepentingan untuk menangguk di air yang keruh, mengambil peluang di saat situasi politik dan negara berada dalam keadaan yang getir,” katanya selepas membuat laporan polis hari ini.

Tambahnya, pemalsuan dokumen dan tandatangan itu wajar diambil tindakan tegas supaya tidak berterusan menjadi amalan yang menggalakkan politik kebencian dan fitnah.