Malaysia Dateline

Setiausaha AMANAH Pulau Pinang positif Covid-19

Setiausaha AMANAH Pulau Pinang, Saifullah Abdul Nasir disahkan positif Covid-19 selepas mengikuti kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah minggu lalu.

Mengesahkan perkara tersebut kepada Malaysia Dateline, bekas Ketua Pemuda AMANAH Negeri itu juga memaklumkan beliau dimasukkan ke Hospital Besar Pulau Pinang pada semalam.

Saifullah hadir ke PRN Sabah bagi membantu kempen calon tunggal AMANAH, Rosdy Wasli yang bertanding di Tanjung Keramat.

Ditanya tentang keadaan ahli parti yang lain, Saifullah berkata tidak pasti.

“Tak pasti. Tapi mereka ada buat test (ujian saringan Covid-19),” katanya ketika dihubungi.

Pagi tadi, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil mengesahkan salah seorang kakitangannya yang baru pulang dari Sabah disahkan positif Covid-19.

Menerusi posting Facebooknya hari ini, Pengarah Komunikasi PKR itu memaklumkan beliau bersama kesemua kakitangannya yang lain telah menjalani saringan ujian Covid-19 dan kini sedang menjalani kuarantin di rumah.

Sebelum ini juga beberapa ahli politik mengesahkan diri mereka turut dijangkiti wabak berkenaan antaranya Ketua Penerangan Umno Shahril Sufian Hamdan dan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi N.03 DUN Pitas, Sufian Abd. Karim juga mengesahkan beliau positif Covid-19.