Kerana tidak senang dengan sikap Pas terhadap rasuah, Setiausaha Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) S. Barathidasan meletakkan jawatan dan keluar dari Pas dan diterima menyertai AMANAH hari ini.
“Saya sertai AMANAH bukan mahu jawatan tapi untuk memerangi gejala rasuah, salah laku dan kezaliman kerajaan kini,” katanya.
Dalam satu kenyataannya hari ini, Barathidasan berkata dia menerima sijil keahlian daripada Presiden AMANAH, Mohamad Sabu pada Majlis Konvensyen Nasional parti itu yang berlangsung di Kelana Resort, Seremban hari ini.
Menurut bekas setiausaha sayap penyokong Pas itu, permohonannya untuk menjadi ahli AMANAH telah diluluskan pada 15 April 2021, selepas melepaskan semua jawatan dalam sayap penyokong Pas pada 31 Disember 2020.
“Akhirnya dengan bangga saya mengumumkan bahawa saya kini bersama Pakatan Harapan (PH), akan memikul segala tanggungjawab dan amanat Presiden serta visi dan misi parti,”katanya.
Barathidasan keluar Pas berikutan rasa tidak puas hati terhadap parti yang memerintah Kedah itu dalam mengendalikan isu membabitkan masyarakat bukan Islam, khususnya di negeri Jelapang Padi.
Sebelum ini, kerajaan Kedah menjadi tumpuan kontroversi setelah dikatakan merobohkan kuil Hindu tanpa berunding dengan kerajaan persekutuan, selain membatalkan cuti Thaipusam sebagai cuti peristiwa, yang menyebabkan kritikan daripada rakan komponen BN, MIC.

Pada Ogos 2018, Barathidasan membuat kenyataan membantah kenyataan Dr Zakir Naik yang mempertikaikan keikhlasan bukan Islam terhadap negara ini.
Beliau meminta Zakir meminta nasihat dari Presiden Pas, Tan Sri Hadi Awang tentang hubungan pelbagai kaum di negara ini.
Baca juga Muslimat Pas di Kedah mula tanya, bila nak tubuh cawangan AMANAH di kampung mereka!