Malaysia Dateline

Setiausaha MB Kedah nafi bosnya ‘test drive’ kereta baharu semasa PKP Penuh

Setiausaha Politik Menteri Besar Kedah menafikan bosnya, Muhammad Sanusi Md Nor pergi pandu uji (test drive) kereta baharu di Juru Autocity, Pulau Pinang petang semalam kerana ia berlaku hanya dalam perjalanan Sanusi dari Kedah ke Kuala Lumpur.

Afnan Hamimi Taib Azzamuddin berkata demikian bagi menjawab tulisan seorang wanita, Nini Sirom yang menyaksikan bagaimana Sanusi memandu uji kereta Ford Raptor di Juru Autocity, Pulau Pinang petang semalam.

Bagi Nini, tindakan Sanusi memandu uji kereta tersebut ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Penuh dikenakan adalah tidak wajar kerana ia melanggar SOP yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini kerana penjualan kereta atau pandu uji kereta baharu tidak termasuk dalam perkhidmatan perlu semasa PKP Penuh.

“Saya ada kemuyskilan! Izinkan saya kongsikan apa yang berlaku di depan mata saya sendiri,” tulis Nini dengan menyatakan Lokasi: Juru Autocity, berhadapan Showroom Ford Autocity, Jam: 6.30ptg dan Tarikh: 5 Jun 2021, Hari: Sabtu.

Gambar-gambar dan video yang diambil oleh Nini yang menunjukkan Sanusi pandu uji kereta di Juru Autocity semalam.

“Sebaik sahaja saya dan suami parked kereta di tempat letak kereta kedai eco rm2(sebelah lokasi kejadian), sebelum turun dari kereta. Saya perasan kelibat seseorang yang amat familiar. Saya dan suami mengesahkan itu adalah MB KEDAH,” tulis Nini.

Menurut Nini, Sanusi bersama dua orang lelaki Melayu dan seorang lelaki berbangsa Cina (Salesman Ford) sedang menaiki kereta Ford Raptor biru itu.

“Agak terkesima menyedari sekarang PKP, tiada test drive dibenarkan! Cuba memujuk hati, mungkin itu kereta baru beliau. Mungkin hari penyerahan kereta.

“Tetapi sebaik sahaja memeriksa kawasan showroom, kami noticed bahawa kereta tersebut adalah kereta TEST DRIVE(dengan stiker sime darby)!!! pasti!” tulis Nini.

Menurut Nini, mula-mula beliau tertanya, apakah boleh test drive semasa PKP Penuh.

“Beli kereta dari Kedah sampai Penang ka?

“Dengan hati yang berkecamuk, kami setia menanti dalam kereta, dalam masa yang sama, kami turun untuk memastikan yang kami tidak silap orang.

“Selepas lebih kurang 10 minit, kereta test drive tersebut tiba kembali.. Mereka semua turun, seperti ada perbincangan.. Dan mungkin ada niat untuk meneruskan test drive atau view kereta ford test drive yang kedua (warna putih),” tulis Nini.

Menyedari akan hal itu, kata Nini, beliau turun dan terus tegur salesman tersebut.

Ketika itu, katanya, jurujual tersebut, berada dekat dengan beliau manakala MB Kedah dan dua orang lelaki lagi di sebelah bertentangan sedang buka pintu kereta kedua.

Namun selepas beliau bertanya, jurujual tersebut menafikan ada membuat pandu uji.

Tanpa kesedarannya, kata Nini, MB dan dua lelaki tadi beredar menaiki Vellfire mereka dan hilang dari pandangan beliau.

Menurut Nini, beliau melihat sendiri bagaimana ketiga-tiga mereka melihat kereta baharu itu dan membuat pandu ujinya kira-kira 10 minit.

“Yang pasti tadi mereka sedang view kereta siap test drive!! Jelaskan lah pada saya, supaya saya faham!” tulis Nini lagi.

PENGAKUAN AFNAN

Afnan dalam tulisannya mengaku, ketika kejadian berlaku, Sanusi bersama pemandu dan seorang anggota polis pengiring singgah di Juru untuk membeli makanan dalam perjalanan mereka dari Alor Setar ke Kuala Lumpur.

“Ada seorang salesman duk susun kereta Ford Ranger di luar shor room. MB pi jengok kereta tu. Bukan pi nak beli. Saja pi tengok. Minat. Kalau pi hendap-hendap satgi orang tengok pelik pulak.

“Walaupun show room tutup, salesman tu bersopan, layan orang yang mau lihat sambil-sambil duk alih kereta-kereta tu. Dia tau waktu ni tak boleh berniaga. SOP PKP. Orang berniaga macam tu la.

“Lepas siap beli makanan, MB sambung perjalanan ke KL. Ford Ranger tu duk ada kat Juru tu. Tak ikut pi sekali,”tulis Afnan, anak bekas Iman Besar Masjid Negara itu.

Afnan menafikan sama sekali berlaku ‘test drive’.

Beliau juga mengesahkan Sanusi menggunakan kereta Vellfire milik Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang menjadi kontroversi sebelum ini.

“Tolong sampaikan pada akak yang ambik gambaq tu. Baguih akak ni. Rajin,” tulis Afnan yang dipercayai ditujukan kepada Nini yang mengambil gambar Sanusi sedang membuat pandu uji kereta itu walaupun dinafikan oleh Afnan bahawa ada ‘test drive’.