Setiausaha Negara AS rungkai visi Trump: Konfrontasi dengan Iran

Setiausaha Negara AS rungkai visi Trump: Konfrontasi dengan Iran

Mike Pompeo, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) telah menyatakan visi pentadbiran Trump iaitu konfrontasi dengan Iran, ketika menyampaikan ucaptama di American University di Kaherah, Mesir, lapor al Jazeera.

Pompeo sebelum ini menyeru supaya persaingan di Timur Tengah diberhentikan demi mengurangkan pengaruh Iran di rantau itu dan berjanji bahawa “setiap pengaruh Iran dihapuskan” dari Syria.

“Sudah tiba masanya persaingan lama diberhentikan demi keamanan rantau ini,” kata Pompeo. Dalam siri lawatan beliau ke Timur Tengah itu, beliau turut menerangkan secara lanjut kepada sekutu AS berkenaan rancangan AS untuk mengeluarkan tenteranya dari Syria.

Jelas beliau, AS akan “menggunakan saluran diplomasi untuk bekerjasama dengan negara sekutu untuk menghapuskan setiap pengaruh Iran” di Syria dan berusaha untuk “membawa keamanan dan kestabilan kepada rakyat Syria,”.

Pompeo turut menyatakan bahawa pentadbiran mantan Presiden AS Barack Obama bersifat “tersalah arah” dan berfikiran “awang-awangan” yang menyebabkan peranan AS di rantau itu berkurang dan sebaliknya hanya memperkuatkan musuh ketat AS, iaitu Iran.

Diplomat tertinggi AS itu turut mengkritik Obama kerana bersifat naif apabila berdepan dengan beberapa cabaran di rantau itu seperti revolusi di Mesir, bermula tahun 2011.

Beliau turut menyalahkan dasar pentadbiran terdahulu yang mengangkat sekatan kepada Iran pada tahun 2015 yang menyebabkan kemunculan Islamic State of Iraq and the Levant (ISISL, turut dikenali ISIS) dan Iran yang semakin aggresif.

Pompeo turut menyifatkan AS sebagai “kuasa untuk kebaikan” di Timur Tengah dan menyeru kepada semua negara sekutu bahawa AS komited untuk “menyahkan secara menyeluruh” segala ancaman diberikan oleh kumpulan ISIL, walaupun Presiden Trump telah membuat keputusan untuk mengeluarkan tentera AS dari Syria.

Loading...