Malaysia Dateline

Setiausaha Politik Menteri ditahan: NGO gesa SPRM waspada tidak terperangkap jerung besar

Hisbah menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar berhati-hati dalam menangani kes melibatkan Setiausaha Politik Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang ditahan kelmarin.

Setiausaha Agung Hisbah, Abdul Ghani Haroon berkata, gesaan pihaknya hanya ingin membantu pihak berkuasa untuk menjamin akhirnya matlamat besar kerajaan baru untuk melakukan reformasi dan perubahan di negara ini tercapai khususnya dalam memastikan kelompok elit dan perasuah besar yang selama ini mengaut hasil mahsul negara dengan rasuah dipertanggunjawabkan.

“Hisbah menghormati tugas dan peranan SPRM dan percaya kepada integriti badan pelaksanaan hukum ini secara umumnya.

“Namun, Hisbah menggesa SPRM berhati-hati agar tidak terperangkap dengan permainan licik jerung-jerung besar yang selama ini mengutip habuan besar yang tentunya amat memusuhi pegawai-pegawai baru yang bersungguh-sungguh mahu melakukan perubahan dan menggugat kepentingan-kepentingan besar ini,” tegasnya.

Kelmarin, SPRM menahan seorang setiausaha politik seorang menteri kerana disyaki menerima suapan berbentuk seutas jam tangan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM28,000.

Lelaki berusia 47 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 5 petang di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya ketika hadir memberi keterangan dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub pada hari sama kemudiannya mengesahkan setiausaha politiknya ditahan SPRM.

Bagaimanapun, pemimpin AMANAH itu tidak akan campur tangan dalam siasatan terbabit kerana individu itu seperti rakyat Malaysia lain yang tertakluk kepada undang-undang.

Mengulas lanjut, Abdul Ghani dalam kenyataanya hari ini berkata, sepanjang pengetahuan Hisbah yang mengikuti secara dekat perjalanan pentadbiran kerajaan baru, Ahmad Sabki Yusof merupakan antara pegawai lantikan politik yang paling pro aktif dalam melaksanakan tugas.

Hal itu, jelasnya, dapat dilihat pada aspek melakukan perubahan terhadap praktis pentadbiran lalu yang banyak kepincangan dan terlalu cenderung memberi laba besar kepada kelompok elit penguasa dan pengusaha korup pemerintahan lalu.

“Pada hemat Hisbah, elit perasuah besar (the super corrupt elite) ini masih ramai yang bebas bergentanyangan dan tidak mustahil mereka menggunakan wang rasuah mereka yang banyak menjadikan setiap pegawai dan pejuang anti rasuah sebagai target dan musuh mereka,” ujarnya lagi.