Malaysia Dateline

Abbas Azmi

‘Setitis air percuma pun Umno-BN tidak mampu beri’

Beliau berkata, rakyat di Selangor menolak pemimpin dan Umno-BN mulai Pilihan Raya Umum ke-12 itu ekoran prestasi buruk rejim parti tersebut sepanjang berkuasa selama ini.

Mengulas desakan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya rakyat Selangor menilai semula pembangunan yang terlebih dahulu dibawa kerajaan BN, beliau menganggap Setiausaha Agung Umno berkenaan hanya memperlekeh rakyat di negeri paling maju itu.

{loadposition myposition}

“Sejak merdeka hingga 2008 setitik air percuma pun Umno-BN tidak mampu beri kepada rakyat tetapi di bawah pentadbiran Pakatan Harapan bukan setakat air percuma, bas percuma, wifi percuma, Skim Tawas (Tabung Warisan Anak Selangor), skim perkahwinan, Rumah Selangorku, Skim Mikro Kredit Hijrah dan banyak lagi .

“Mudah kata, dari bayi yang baru dilahirkan sehinggalah meninggal dunia semuanya ada skim yang disediakan khusus bagi menjaga kebajikan rakyat,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Abbas berkata, Setiausaha Agung BN tersebut wajar melihat cermin dengan mata yang terbuka memandangkan rakyat Selangor sebenarnya amat selesa di bawah Pakatan Harapan.

“Umno-BN dilihat sudah berputus asa untuk menyerang kerajaan negeri Selangor dan kini seolah-olah menyalahkan rakyat Selangor pula.

“Tengku Adnan perlu sedar kenyataannya yang mengatakan Umno yang membina Selangor dan kini semuanya ada pada pembangkang sebagai satu kenyataan yang kurang cerdik,” bidasnya.

Menurutnya, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib yang menyaksikan negeri itu membangun maju sekarang sudah bersama parti komponen Pakatan Harapan iaitu PKR.

“Ini menguatkan lagi hujah bahawa Umno-BN sudah tidak boleh dipercayai lagi oleh rakyat negeri Selangor kerana pentadbiran di bawah kerajaan Umno-BN hanya mementingkan diri sendiri.

“Rakyat Selangor tidak lupa bagaimana mantan Menteri Besar Datuk Seri Khir Toyo mempunyai kekayaan luar biasa dan dibuktikan bersalah di mahkamah.

“Begitu juga kekayaan luar biasa wakil rakyat Umno ketika itu seperti yang dimiliki allahyarham mantan Adun Pelabuhan Klang,” ujar beliau.

Sehubungan itu, Abbas berpendapat rakyat Selangor akan lebih menolak Umno-BN ekoran skandal mega 1MDB dan cukai GST yang menyebabkan kenaikan harga barang serta penarikan subsidi petrol dan pinjaman pendidikan.

“Semua kerakusan pemimpin negara pada hari ini adalah faktor utama rakyat Selangor tidak akan kembali kepada Umno-BN dan rakyat Malaysia juga sedang menanti saat untuk menghumban pemimpin Umno-BN ini pada PRU-14 (Pilihan Raya Umum ke-14) akan datang,” tambahnya lagi.