Setpol Azmin buat laporan polis, qazaf

Setpol Azmin buat laporan polis, qazaf

Setiausaha Politik (Setpol) Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Hilman Idham hari ini membuat dua laporan berhubung penyebaran video lucah melibatkan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan individu dikenali sebagai Haziq Aziz.

Laporan polis oleh Hilman yang juga Timbalan Ketua AMK Pusat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya pagi tadi.

Menurut ADUN Gombak Setia, Selangor itu, beliau membuat laporan tersebut agar pihak polis melakukan siasatan terhadap penularan video berkenaan.

“Saya telah buat laporan dan polis telah menerima laporan ini,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan tersebut.

Hilman dan rombongannya kemudian tiba di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Putrajaya kira-kira jam 11.40 pagi untuk membuat laporan qazaf.

Qazaf atau perbuatan melemparkan tuduhan zina merupakan suatu kesalahan syariah.

Semalam, Haziq yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Santubong tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terlibat melakukan seks sejenis bersama Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Datuk Seri Shamsul Iskandar Md. Akin itu mendakwa video tersebut dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik di Hotel Four Points di Sandakan.

 

Hilman dan rombongan tiba di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Putrajaya jam 11.40 pagi.