Malaysia Dateline

Setpol Mat Sabu ditahan SPRM, Wisma AMANAH digeledah tanpa waran

Setiausaha Agung AMANAH Nasional, Dr Mohd Hatta Ramli mengesahkan Setiausaha Politik kepada Mohamad Sabu, telah ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas tuduhan rasuah pada petang semalam.

Mohd Hatta berkata, susulan dari itu SPRM telah melakukan operasi penggeledahan di ibu pejabat parti di Wisma AMANAH Negara, Kuala Lumpur awal pagi ini.

Walau bagaimanapun, beliau mendakwa tindakan geledah tersebut dilakukan tanpa dikemukakan terlebih dahulu dokumen waran geledah kepada pegawai keselamatan Wisma AMANAH Negara.

“Apabila ditanya, mereka menjawab waran itu akan diserahkan kepada Mohd Azhar Che Mat Dali yang telah dibawa bersama.

“SPRM juga telah membuat permohonan reman terhadap Saudara Azhar di Mahkamah Majistret Putrajaya.

“Mahkamah telah memberikan kebenaran reman selama enam hari,” katanya dalam satu kenyataan petang ini.

Terdahulu, seperti yang dilapor Malaysiakini, pembantu kepada bekas Menteri pertahanan itu disiasat atas dakwaan melakukan sogokan kontrak bernilai RM56 juta.

Sementara itu, Hatta yang juga ahli Parlimen Lumut berkata, tiada keperluan untuk SPRM memohon penahanan reman oleh kerana beliau yakin Azhar mampu memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan suruhanjaya itu.

Beliau berkata, hanya sekiranya Azhar tidak hadir apabila dipanggil dan tidak memberi kerjasama dengan SPRM, mungkin ada alasan untuk dia direman.

Justeru, beliau menuntut agar SPRM bersikap profesional dalam menjalankan tugas siasatan dengan mengikut lunas-lunas perundangan dan prosedur dengan teratur.

“AMANAH memandang serius tindakan SPRM yang bersifat keterlaluan.

“AMANAH memohon supaya beliau diberikan hak untuk bertemu peguam sejajar dengan prinsip hak asasi dan perlembagaan.

“Kegagalan SPRM untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus boleh menimbulkan tanggapan bahawa tindakan SPRM bermotif politik dan boleh menjejaskan imej SPRM,” tegasnya lagi