Malaysia Dateline

Setpol Menteri Sumber Manusia positif Covid-19

Setiausaha Politik (Setpol) kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Khamarulazlan Mohamad Hanafiah disahkan positif Covid-19.

Hal itu dimaklumkan isterinya, Datin Rita Sosilawati menerusi Instagram hari ini.

Usahawan yang menerajui empayar kosmetik Nouvelles Visages (NV) itu berkata, suaminya sah dijangkiti Covid-19 selepas melakukan ujian saringan semalam.

Kata anak kepada jutawan kosmetik Allahyarham Datuk Sosilawati Lawiya berkenaan, sejak dua dan tiga hari lalu, Khamarulazlan menghidap demam.

Sehubungan itu, Rita meminta semua kenalan suaminya dan dia sendiri supaya memberi masa dan ruang agar mereka sekeluarga dapat fokus dalam pemulihan semasa kuarantin.

Rita dan Khamarul mempunyai empat anak selepas bernikah pada 2011.

Difahamkan, Khamarulazlan menjalani kuarantin dan mengasingkan diri dari anak-anak di sebuah bilik di tingkat bawah rumahnya.

Malah, Rita, 36, memberitahu telah pun mengasingkan kesemua anaknya lebih awal sejak beberapa hari lalu ekoran kemerosotan kesihatan Khamarulazlan.

Selepas 10 tahun mendirikan rumahtangga, Khamarulazlan dan Rita atau nama sebenarnya Erni Dekritawati Yuliana Buhari mempunyai empat cahaya mata iaitu Kaisar Raees, Khalid Rashad, Khaylila Rafaahiyah dan Khalil Rizqullah.

Khamarulazlan, 41, pernah menjadi pegawai khas kepada Ahli Parlimen Tapah, Datuk Seri M Saravanan ketika memegang jawatan Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Selepas Umno tumbang di Putrajaya pada PRU-14, Khamarulazlan menawarkan diri untuk bertanding sebagai Exco Pemuda Umno bagi penggal 2018-2021.

Khamarulazlan (tengah) dalam rakaman gambar pada 6 Januari lalu.