Setuju atau tidak pesta arak, tangani dengan berhemah

Setuju atau tidak pesta arak, tangani dengan berhemah

Sheikh Omar Ali

Seorang pemimpin DAP Negeri Johor secara peribadi tidak menyokong penganjuran pesta arak ‘Better Beer Festival 2017’ di ibu negara.

Bagaimanapun Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor Sheikh Omar Ali berkata isu ini perlu disantuni dengan penuh berhemah mengunakan ruang demokrasi dalam negara kita.

“Dalam sebuah negara demokrasi, kita tidak boleh sama sekali menyekat pandangan-pandangan samada pro atau kontra dalam isu ini.

“Namun ia perlu disantuni dengan penuh berhemah. Isu seperti ini perlu ditangani menerusi ruang diskusi yang rasional, tidak emosi dan menghormati kepercayaan serta kepelbagaian budaya di negara kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Apa yang lebih penting tegasnya, isu ini tidak wajar dijadikan alat untuk menunjukkan ‘siapa lebih juara’, tetapi perlu dilihat dari pelbagai aspek yang memerlukan pendekatan profesional termasuk dari kaca mata undang-undang tempatan dan sebagainya.

“Sebarang bentuk tindakan memanipulasi isu ini untuk menjolok sensitiviti di kalangan rakyat bagi mencapai kepentingan tertentu sama ada oleh individu mahupun mana-mana parti politik adalah tidak wajar sama sekali dan perlu dihentikan segera,” katanya.

Semalam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjuran ‘Better Beer Festival 2017’ yang dijangka diadakan di pada 6 dan 7 Oktober ini.

Keputusan DBKL itu menerima bantahan daripada beberapa wakil rakyat DAP, PKR dan MCA.

Mereka mengganggap DBKL tidak prihatin dan tunduk dengan permainan parti politik serta tidak mempedulikan semangat muhibah pelbagai kaum di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Sheikh Omar berkata, DBKL perlu mengadakan sesi perbincangan dan penerangan sebelum mengambil sebarang tindakan bagi mengelakkan sebarang salah faham.

“Jika kita gagal mengamalkan toleransi, kita akan turut gagal memupuk perpaduan. Lebih malang jika pihak berkuasa tempatan yang dibiayai wang cukai rakyat pelbagai agama dan bangsa dilihat berat sebelah dan gagal menjalankan tugas mengambil kira kepentingan pelbagai pihak secara rasional dan profesional,” katanya.

Beliau juga yakin terhadap kerukunan rakyat berbilang kaum di negara ini yang boleh hidup harmoni serta saling menghormati.

“Asalkan tiada yang berniat buruk dan sengaja menyemai kebencian, keharmonian ini pasti dapat dikekalkan tanpa sebarang prejudis,” katanya.

CATEGORIES
TAGS