Sewakan PPR kepada warga asing, PATI, KPKT akan laksana operasi besar-besaran untuk cari pemilik rumah

Oleh MAISARAH AISYA

Sudahlah beli rumah pada harga rendah, ada pula yang tergamak sewakan kepada orang lain dengan kadar berkali ganda demi keuntungan.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan melaksanakan operasi besar-besaran dalam masa terdekat di Program Perumahan Rakyat (PPR).

Ini adalah berikutan ada pemilik PPR yang tergamak menyewakan rumah mereka kepada pihak lain termasuk warga asing. 

Memetik Bernama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming memberi amaran itu dan KPKT akan menggunakan undang-undang sedia.

Ia bagi memastikan pemilik PPR tidak melanggar undang-undang kerana projek perumahan itu menerima banyak peruntukan subsidi oleh kerajaan.

“Kos kita (bina) sampai RM300,000 tetapi pembeli hanya membayar RM45,000 dulu dengan kata lain, setiap unit rumah kerajaan bayar lebih RM240,000 subsidi untuk mereka.

“Apabila mereka mohon, alasannya tiada rumah tetapi apabila dah dapat, tak duduk dan sewa kepada orang lain,” katanya seperti dipetik Bernama.

Ada pemilik sewakan kepada warga asing

Walaupun sudah tertulis di dalam kontrak, KPKT mendapat khabar bahawa masih ada pemilik PPR yang menyewakan rumah mereka pekerja asing termasuk pendatang tanpa izin (PATI).

“Saya harap semua pemilik PPR wajib mematuhi syarat-syarat dalam kontrak kerana kita dapati ramai (pemilik) dapat (PPR), dia sewa kepada pekerja asing.

“Ada juga sewa kepada pekerja asing tanpa izin. Perkara ini kita tidak akan kompromi,” katanya.

Disebabkan banyak kes vandalisme yang berlaku, KPKT sedang melihat keperluan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dalam lif PPR di seluruh negara.

“Jangan paksa saya pasang CCTV dalam lif. Kami percaya rakyat Malaysia tidak memerlukan perkara seperti itu (pasang CCTV). 

“Kita mesti beradab dan perlu sentiasa ada kesedaran sivik,” katanya.

Pada masa sama, Nga juga menggesa penduduk PPR supaya membayar yuran penyelenggaraan bagi memastikan segala kemudahan yang rosak dapat dibaiki untuk kegunaan penduduk.

Baca juga: “Itu projek syarikat swasta bukan negeri, saya cuma umumkan” – Sanusi jawab dakwaan projek mega gagal