Malaysia Dateline

Shabery Cheek cerita tentang kura-kura yang tidak tahan dipuji dan itik

Ekoran bidalan ‘itik patah kaki’ oleh Presiden Pas, seorang bekas aktivis Pas yang menyertai Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyindir Pas dengan menggunakan bidalan itik.

Shabery yang menyertai Pas di Terengganu selepas tamat belajar di Universiti Malaya pada pertengahan tahun 1980an memberikan ingatan jangan jadi kura-kura yang tidak tahan dipuji.

Shabery, bekas Menteri Komunikasi dan Menteri Pertanian di zaman kerajaan BN itu berkongsi cerita tentang itik dan kura-kura selepas Datuk Seri Abdul Hadi berkata, Umno umpama itik patah kaki yang diubati oleh Pas.

Namun selepas kakinya baik, dia nak berjalan sendiri tidak mahu bersama orang lain ekoran tindakan Umno mahu bertanding solo dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor selepas berjaya di Melaka.

“Pernah dengar cerita itik dan kura-kura?

“Kisahnya kerana kolam kering.

“Semua binatang berpindah mencari tempat lain. Kura-kura kesedihan kerana bebanan di belakangnya menyukarkan untuk pergi jauh.

“Ada sepasang itik yang baik hati, memberi cadangan, “kami terbangkan sebatang kayu dan kamu gigitnya di tengah. Kita boleh pergi jauh, syaratnya kamu sabar dan diam ketika terbang bersama”.

“Dalam perjalanan kura-kura teruja dapat terbang. Melihat pemandangan yang luas dan indah.

“Di satu tempat terdengar sorakan budak-budak, “he! tengok kura-kura tu ada hati nak terbang walau tak ada sayap! ” kura-kura diam. Tahan sabar.

“Tak lama selepas itu seekor gagak melintas, “wah hebat!, pastinya inilah raja kura-kura..!

“Kura-kura terus jawab “PASTILAH!”. Terbuka mulut, kura-kura pun jatuh terhempas.

“Pengajaran. Ramai yang tahan dikeji. Tapi tak ramai tahan dipuji,” cerita Shabery yang juga orang Terengganu sebagaimana presiden Pas itu.

Sebelum ini, rakan Shabery, Datuk Dr Puad Zarkashi juga menyindir Hadi.

Shabery adalah Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) manakala Puad adalah Setiausaha Agung PMUM ketika itu.

Selepas tamat belajar Shabery telah bekerja di Intitut Berakan di Kuala Terengganu yang dipimpin oleh Ketua Pemuda Pas Terengganu, Ustaz Abu Bakar Chik bagi membantu Pas.

Namun Shabery meninggalkan Pas selepas itu kerana tidak tahan atau serasi dengan budaya Pas di Terengganu yang dipimpin oleh Abdul Hadi.