Malaysia Dateline

Shabery Cheek sindir Pas isu pengeluaran KWSP

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyindir Pas berhubung i-Sinar oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) iaitu inisiatif pengeluaran Akaun 1 secara bersasar.

Menerusi hantaran di Facebooknya pagi ini, bekas Ahli Parlimen Kemaman berkenaan mengucapkan “tahniah” kepada Pas.

Dalam masa sama, beliau turut berkongsikan poster dan kenyataan media Ketua Dewan Pemuda Pas Terengganu, Mohd Nasir Abdul Razab.

“Ada yang kata i-SINAR, pengeluaran akaun 1 KWSP hasil perjuangan mereka. Tahniahlah!” katanya.

Terdahulu, Nasir dalam kenyataannya mengucapkan tahniah kepada Timbalan Ketua Pemuda Dewan Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari.

Kata Nasir, Ahli Parlimen Pasir Mas itu telah mencadangkan agar moratorium secara bersasar dan pengeluaran wang Akaun 1 KWSP diterima tanpa bersyarat kerana ia tiada dalam RUU Perbekalan untuk dibincangkan dalam Dewan Parlimen.

“Bahkan beliau (Ahmad Fadhli) mencadangkan agar Ahli Parlimen kerajaan duduk semeja dan bincangkan yang terbaik buat rakyat,” kata Nasir.

KWSP mensasarkan sehingga dua juta ahli yang terkesan Covid-19 akan dapat memanfaatkan i-Sinar.

Mereka terbabit ialah golongan yang telah kehilangan pekerjaan, pekerja sektor formal yang tidak mampu mencarum selama dua bulan berturut-turut atau pekerja yang diberi cuti tanpa gaji oleh majikan.

Di bawah i-Sinar, syarat pengeluaran adalah terbahagi kepada kategori simpanan Akaun 1 RM90,000 dan ke bawah serta kategori simpanan Akaun 1 melebihi RM90,000.

Bagi kategori ahli KWSP yang memiliki simpanan Akaun 1 RM90,000 dan ke bawah, ahli boleh membuat pengeluaran secara beransur selama enam bulan sehingga maksimum RM9,000.

Pengeluaran pertama sehingga RM4,000 manakala pengeluaran bulanan seterusnya adalah pada tahap maksimum RM1,000 sebulan.

Pendaftaran i-Sinar akan bermula bulan depan dan pengeluaran pertama akan dilaksanakan mulai Januari 2021.