Malaysia Dateline

Shafee tidak teliti baca buku skandal 1MDB, kata Tom Wright

Peguam Datuk Seri Najib Razak mungkin tidak membaca Billion Dollar Whale dengan baik apabila mengatakan buku itu membersihkan nama bekas perdana menteri itu.

“Mengarut, Shafee pastinya tidak membaca buku itu baik-baik,” kata pengarangnya Tom Wright, mengulas kenyataan Tan Sri Shafee Abdullah, dalam wawancara stesen radio BFM pagi tadi.

Peguam itu berkata karya bersama Wright dan Bradley Hope mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan dalangnya Jho Low percaya buku itu boleh membuktikan Najib tidak bersalah.

“Buku itu menyatakan kemungkinan besar ahli perniagaan Low Taek Jho yang mengelirukan orang ramai, termasuk Najib,” katanya. “Jika buku ini boleh dikemukakan sebagai bukti di mahkamah memang menarik.”

Wright, yang berada di sini untuk pelancaran buku tersebut petang ini, juga berkata mereka adil terhadap Najib apabila menyatakan ahli politik itu mungkin tidak mengetahui sepenuhnya.

Namun, tambahnya, kenyataan itu tidak menjadikan Najib, yang juga menteri kewangan dan pengerusi lembaga penasihat 1MDB waktu itu, boleh terlepas daripada sebarang salah laku.

“Mungkin Najib mungkin tidak tahu wang rakyat Malaysia sebanyak RM4.5 bilion atau lebih diambil tetapi beliau memang sedar wang seleweng itu untuk beli rumah, perniagaan di Amerika Syarikat, syarikat perfileman dan cincin berlian merah jambu US$27 juta dari Lorraine Schwartz yang dimiliki isterinya Rosmah [Mansor],” katanya, lapor Malaymail hari ini.