Malaysia Dateline

Rela Pasir Puteh gesa Shafie Afdal mohon maaf

 

Kira-kira 50 anggota Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela) mewakili 6,000 anggota Rela Pasir Puteh, di sini, tampil membuat laporan polis terhadap Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang dianggap menghina dan tidak menghargai tanggungjawab Rela sebagai benteng ketiga negara.

Kolenel Kehormat Rela, Datuk Che Min Che Ahmad berkata, satu laporan polis yang diketuai anggota Senior Rela, Abdullah Mamat dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh pada pukul 10.21 pagi semalam mendesak kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pemimpin berkenaan yang memperlekeh pengorbanan Rela selama ini.

Menurutnya, pemimpin parti berkenaan dalam kenyataannya di Tuaran, Sabah baru-baru ini mendakwa Rela tidak pandai mengunakan senapang, tidak tahu menembak, tidak belajar bagaimana pakai bom tetapi hanya tahu bertugas di tempat kenduri untuk mengawal trafik (lalu lintas) amat dikesali.

“Tidak sepatutnya pemimpin yang cerdik sepertinya sanggup berkata demikian tanpa menilai sensitiviti anggota Rela. Dia perlu memohon maaf secara terbuka dalam kadar yang segera,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas membuat laporan polis di IPD Pasir Puteh, di sini, semalam.

Menurutnya, tindakan perlu diambil sekiranya Shafie tidak memohon maaf sebagai satu pengajaran kepada beliau atau mana-mana pihak untuk tidak menghina pasukan beruniform dan mengulangi perkara yang sama.

“Jangan kerana sengketa politik di antara beliau dengan kerajaan, kewibawaan anggota Rela yang hakikatnya diberi latihan yang diperlukan dijadikan senda gurau atau diperlekehkan,” katanya.

Kenyataan Shafie yang mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa sebanyak 500 anggota Rela akan ditempatkan bersama pasukan keselamatan lain di zon Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) yang turut berperanan sebagai pasukan utama dalam mengawal sempadan negara.

Kenyataan Shafie turut dirakamkan video berdurasi 20 saat turut ditular di media sosial.