Malaysia Dateline

Shafie Apdal layak bertanding

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, hari ini, menolak permohonan semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tidak membenarkan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bertanding atau mengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Hakim Azhahari Kamal Ramli mengetepikan permohonan semakan itu kerana ia didapati remeh dan tidak berasas.

Azhahari turut memerintahkan pemohon membayar RM10,000 kepada Mohd Shafie dan SPR yang dinamakan sebagai responden pertama dan kedua dalam permohonan itu.

Pada 17 April lalu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Umno Semporna, Datuk Mohd Ainal Fattah, melalui peguam Marcel Jude memfailkan semakan itu di mahkamah.

Dalam prosiding hari ini, SPR diwakili Peguam Persekutuan Kanan, Andi Razali Jaya dan Mohd Shafie diwakili Datuk Doughlas Lind serta Chung Jing Dau.

Mohd Ainal memohon injunksi mandatori terhadap pencalonan Mohd Shafie pada PRU-14 sehingga wang RM7.5 bilion yang didakwa hilang ketika bekas Naib Presiden Umnoitu menjadi Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dikembalikan.

Sementara itu, Chung ketika ditemui media berkata, mahkamah memutuskan pemohon tidak mempunyai ‘locus standi’ (hak di sisi undang-undang) dan tuduhan dibuat tiada kaitan dengan Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Mohd Shafie bertanding bagi kerusi Parlimen Semporna dan Dewan Undangan Negeri (Dun) Senallang.