Malaysia Dateline

Shafie bimbang ahli politik tiada pendirian, rakyat terlalu berpecah

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bimbang dengan situasi politik tidak menentu pada masa ini dengan ada pemimpin yang lupa mandat diberi oleh rakyat.

Walaupun menyedari tiada kawan atau lawan yang kekal dalam politik tetapi Ahli Parlimen Semporna itu berharap pendirian perlu ada.

“Bila sudah dapat mandat, kadang kita lupa. Bila YB hendak melompat, orang yang memberi sokongan kepadanya.

“Mereka ada hak satu undi untuk membuat perubahan dan harapan kepada sesebuah parti dan pemimpin.

“Jangan hari ini kerjasama, esok bergaduh kemudian kerjasama kembali. Kita perlu mempunyai pendirian,” katanya menerusi Facebook Live dengan forum bertajuk, “Ke mana hala tuju politik Malaysia?” malam ini.

Shafie yang juga bekas Naib Presiden Umno menegaskan rakyat pada masa ini mahu melihat masalah berkaitan Covid-19 dan krisis ekonomi ditangani.

“Walaupun masuk kerjasama, apa sebenarnya kehendak rakyat kepada pemimpin? Sekarang rakyat mahu membebaskan mereka daripada pandemik dan belenggu ekonomi.

“Dalam PAU (Perhimpunan Agung Umno), suara akar umbi sudah jelas tapi pemimpin mereka tidak dengar.

“Kalau ahli parti mereka bersuara pun tidak didengar, apa lagi suara rakyat,” katanya yang dipercayai merujuk kepada keengganan sembilan menteri dan lima timbalan menteri Umno yang enggan keluar dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) diterajui Bersatu.

Sehubungan itu, Shafie mengingatkan soal kerjasama politik harus disandarkan pada nilai murni dan bukannya sekadar mengejar jawatan.

“Rakyat kita terlalu berpecah. Ini amat membimbangkan saya.

“Esok nanti kita menang, sesuka hati kita hendak bergabung. Mandat dan suara rakyat dikorbankan kerana kepentingan diri diutamakan.

“Kita hendak membina sebuah negara, bagaimana menyentuh hati semua rakyat dari seluruh wilayah, bukan hanya dengan kerjasama (politik).

“Kalau semata-mata kerjasama hendak jawatan, itu bukan murni. Asas PN pun tiada kemurnian,” katanya yang turut mengaitkan sejumlah ahli Parlimen PKR ‘lompat’ ke dalam Bersatu.

Dalam masa sama, beliau turut sempat mengulas pendirian Pas yang berada dalam dua gabungan parti politik iaitu bersama Perikatan Nasional (PN) dan Muafakat Nasional (MN).

“Kelihatan (Pas) sebelah ini (PN)tidak, sebelah itu (MN) pun tidak. Ini membimbangkan kita.

“Negara kita akan jadi porak peranda,” tambah bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu lagi.