Shafie dijangka umum keluar parti?

Shafie dijangka umum keluar parti?

Ketua Umno Bahagian Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang kini berada di Mekah kerana mengerjakan umrah dijangka mengumumkan keluar parti selepas Majlis Tertinggi memutuskan menggantung beliau sehingga siasatan selesai dijalankan.

Daripada sumber maklumat yang dilapor portal MalaysiaGazette hari ini,  menyebut, Shafie difahamkan akan membuat pengumuman tersebut sekembalinya daripada menunaikan umrah.

Jumaat lepas, MT sebulat suara membuat keputusan memecat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai ahli UMNO ekoran perbuatan mereka yang secara terang-terangan melanggar disiplin dan perlembagaan parti.

Antara yang dilakukan oleh kedua mereka adalah duduk sepentas dengan parti pembangkang sambil memburuk-burukkan kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan Malaysia.

Walaupun Shafie sejak mula dipecat dari Kabinet telah bersama Muhyiddin mengkrittik kepimpinan Najib, namun nasibnya agak baik kerana MT hanya menggantung keahliannya sehingga siasatan jawatankuasa disiplin parti selesai.

“Shafie sekarang sudah nekad akan keluar daripada Umno walaupun dipujuk kerana hatinya sudah cukup kecewa.

“Dia akan buat pengumuman nanti sebaik sahaja dia sampai di Semporna nanti,” kata sumber berkenaan seperti dipetik.

Semalam, lebih 300 ahli Umno di Semporna bertindak melepaskan semua jawatan dan keahlian mereka kerana membantah keputusan MT berhubung penggantungan keahlian Shafie.

“Mungkin akan lebih ramai ahli Umno di bahagian lain di Sabah akan menyertai Shafie sebagai tanda sokongan kepadanya selepas pengumuman dibuat,” ujarnya.

COMMENTS

Wordpress (0)