Malaysia Dateline

Shafie hargai kerjasama Mahathir bawa perubahan di Sabah

Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal menzahirkan penghargaan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang katanya memberikan kerjasama baik kepadanya dalam usaha melakukan perubahan di Sabah.

Sebagai contoh, katanya, apabila bekas Perdana Menteri itu bersetuju dengan pemintaannya supaya hak pemilikan syarikat pembekal elektrik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) yang dimiliki kerajaan persekutuan, diserahkan semula kepada kerajaan negeri Sabah.

“Saya terima kasih banyak dengan Tun (Mahathir). Banyak dia setuju. Bila saya minta (dengan) Tun, bila saya bincang dengan dia: Tun, kita band (bekerjasama), kita bina negara.

“Tun sudah 90 tahun, saya 64 tahun, tapi kita kena bina negara. Malaysia kita sayang walaupun kita dipisah Laut China Selatan ini. Saya sayang orang Semenanjung, saya sayang isteri saya, orang Kedah. Bukan saya tak sayang.

“[…] Bila kita bersuara lantang menyuarakan ‘ini hak rakyat Sabah, hak Sabah’, (bukan) kita tak suka negara kita. Kita sayang negara kita,” katanya dalam program Santai Pagi semasa berkempen di Kunak hari ini.

Shafie berkata demikian ketika menyorot masalah-masalah kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air yang dialami di Sabah, terutamanya di Kunak.

Oleh sebab itu, katanya, beliau ketika mengambil alih tampuk pemerintahan Sabah merombak pentadbiran Jabatan Air Negeri Sabah, yang pernah menggemparkan negara apabila puluhan juta ringgit tunai dirampas daripada pegawai kanan jabatan itu pada 2016.