Shafie mahu pegawai daerah di Sabah berwawasan, rancang pembangunan lebih sistematik

Shafie mahu pegawai daerah di Sabah berwawasan, rancang pembangunan lebih sistematik

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu pegawai daerah di negeri ini mempunyai wawasan dalam merencanakan hala tuju setiap daerah bagi memastikan pembangunan lebih sistematik untuk keselesaan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Mohd Shafie berkata pegawai daerah juga perlu memastikan lokasi dipilih bagi setiap pembangunan seperti perumahan, pusat perniagaan dan industri adalah strategik serta mengikut kesesuaian.

“Kita (kerajaan negeri) tidak mahu perancangan sesebuah daerah itu berkecamuk dan tidak tersusun. Justeru, adalah penting untuk merancang pembangunan daerah itu dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Pegawai Daerah Sabah Ke-23 di sini, hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Wilfred Madius Tangau, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah Datuk Ewon Benedick, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Hashim Paijan.

Persidangan dwitahunan bertemakan ‘Pemangkin Pertumbuhan Ekonomi Komuniti Luar Bandar’ adalah platform bagi pegawai daerah menjelaskan hala tuju pembangunan, prestasi dan pencapaian setiap daerah.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, pegawai daerah juga diingatkan untuk meningkatkan kerjasama antara agensi Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri kerana penglibatan kedua-dua agensi sangat penting dalam merealisasikan perancangan pembangunan.

Beliau juga mahu semua pegawai daerah lebih kerap turun padang meninjau kawasan tadbiran mereka untuk melihat dan mengetahui sendiri keperluan pembangunan diperlukan penduduk setempat.

Pegawai daerah berperanan penting dalam menterjemahkan sekali gus merealisasikan dasar kerajaan dalam membantu penduduk di peringkat akar umbi, katanya.

— BERNAMA