Malaysia Dateline

Shafie minta maaf kepada tentera dan keluarga

Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini tampil memohon maaf kepada anggota keselamatan, ahli keluarga dan seluruh rakyat Malaysia susulan kenyataan pimpinan kanan parti itu yang dianggap memperlekehkan peristiwa peperangan berdarah di Lahad Datu.

Shafie menjelaskan, kenyataan yang dikeluarkan secara spontan itu telah disalah erti dan sama sekali tidak berniat untuk menghina perjuangan para perajurit dan anggota keselamatan yang terkorban.

Beliau berkata, sebagai bekas Timbalan Menteri Pertahanan, beliau amat memahami keperitan yang ditempuhi anggota keselamatan ketika menjaga sempadan negara terutama di pos-pos kawalan Sabah yang terpencil dan serba kekurangan.

“Setiap anggota yang berada di perbatasan bukan sahaja bersedia mengorbankan nyawa demi keselamatan rakyat Malaysia, malah mereka juga terpaksa berjauhan dengan ahli keluarga sepanjang tempoh bertugas.

“Dalam berdepan pandemik Covid-19, saya selaku Ketua Menteri Sabah turut memahami dan menghargai peranan anggota keselamatan kita sebagai frontliners menentang musuh yang tidak kelihatan tetapi amat berbahaya.

“Atas rasa tanggungjawab itu saya telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta dana kerajaan negeri untuk diagihkan kepada semua frontliners termasuk RM1 juta kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan RM1 juta kepada Kem Lok Kawi.

“Sumbangan ini tidak dilakukan di mana-mana negeri di Malaysia,” katanya menerusi kenyataannya hari ini

Pada masa yang sama beliau berkata, jumlah tersebut tidak banyak jika dibandingkan dengan risiko dan pengorbanan wira-wira negara ini, namun itu membuktikan komitmen Kerajaan Sabah meskipun agensi keselamatan berada di bawah bidang kuasa Persekutuan.