Shafie-Mukhriz kekal dalam Umno, berjuang tegak kebenaran dalam parti

Shafie-Mukhriz kekal dalam Umno, berjuang tegak kebenaran dalam parti

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua Bahagian Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing menyatakan pendirian untuk kekal dalam Umno dan berhasrat meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran dari dalam parti.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Shafie  (kiri) turut hadir dalam sidang media  pagi tadi turut ditanya tentang pendiriannya terhadap parti.

Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dan Ketua Bahagian Jerlun Datuk Seri Mukhriz Mahathir masing-masing menyatakan pendirian untuk kekal dalam Umno dan berhasrat meneruskan perjuangan menegakkan kebenaran dari dalam parti.

Kehadiran dua pemimpin ini dalam sidang media tergempar bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin pagi tadi,  membuktikan sokongan padu dua pemimpin dari Sabah dan Kedah itu terhadap Muhyiddin yang juga Ketua Umno Bahagian Pagoh.

Shafie ketika bercakap kepada media menyatakan kehadirannya untuk menyokong Muhyiddin kerana beliau menyedari pelucutan jawatan sebagai menteri kabinet dan pengantungan jawatan Timbalan Presiden Umno terhadap Muhyiddin adalah sama sekali  tidak melalui  proses yang betul dalam perlembagaan parti.

“ Kehadiran saya secara peribadi selaku Naib Presiden untuk menyatakan sokongan terhadap Tan Sri. Kita tahu kedudukan kita.

“Sepatutnya dari segi proses yang mana sebelum seseorang ahli dipecat walau apa jawatan dari ahli biasa hingga ke jawatan Presiden harus melalui proses yang betul.

“Pertama lakukan siasatan dahulu, selesai siasatan dilakukan dia akan dipanggil oleh Jawatankuasa Disiplin.

“ Ini tidak berlaku kerana siasatan dibuat oleh orang tertentu, keputusan dibuat oleh orang tertentu dan nak pindahkan jawatan (Timbalan Presiden Umno) pun diputuskan oleh orang tertentu,” ujar Ahli Parlimen Semporna ini.

Dakwaan bahawa jawatankuasa disiplin sudah buat siasatan sebaliknya, Shafie mempersoalkan mengapa Muhyiddin tidak dipanggil untuk mempertahankan tuduhan dibuat oleh parti.

“Jika ada pihak mengatakan jawatankuasa disiplin sudah buat siasatan mengapa beliau (Muhyiddin) tidak pernah dipanggil kalau benar, kalau tafsiran kesalahan dilakukan itu bercanggah dengan perjuangan dan perlembagaan Umno.

“ Beliau adalah seorang pimpinan parti utama selepas Presiden, Timbalan Presiden orang kedua dalam parti.

“Ini yang kita bimbang satu keadaan berlaku apabila penguatkuasaan undang-undang dalam perlembagaan parti disalah gunakan .Saya kesal apa yang berlaku dari segi proses untuk mengambil tindakan sehingga jawatan Timbalan Presiden terpaksa digantung.” jelasnya.

Malah katanya tidak timbul persoalan beliau mahu mempertahankan mana-mana pihak.

“Saya masih lagi ahli Umno dan memegang jawatan Naib Presiden. Tidak timbul kita nak pertahan mana-mana pihak dalam hal ini.

“ Jika ada perlanggaran undang-undang perlulah penguatkuasaan itu dilaksanakan mengikut perundangan sedia ada untuk kita terus menguruskan parti ini. Saya akan terus memperjuangkan kebenaran dari dalam,” ujarnya.

Mukhriz (duduk kanan sekali)  dalam sidang media  yang diadakan Muhyiddin pagi tadi.Manakala bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir ketika diminta pandangan mengenai kehadirannya dalam sidang media tergempar ini, hanya berkata, beliau mempunyai pendirian sama dengan Muhyiddin dan Shafie untuk kekal dalam Umno.

“Saya hadir di sini untuk menyatakan pendirian sama dengan Muhyiddin dan Shafie.

“Berkait dengan keahlian, saya kekal sebagai ahli Umno dan mahu mengkritik dari dalam dan tidak bercanggah dengan pendirian Tun Dr Mahathir.

“ Walaupun pendekatan berbeza tapi prinsip sama untuk menegakkan kebenaran dan yang benar itu didedahkan. Jika ada kemungkaran dan kebatilan perlu diambil perhatian.

“ Atas prinsip tersebut saya bersama dengan Muhyiddin dan Shafie kekal sebagai ahli Umno dan saya kekal sebagai Ketua Umno Bahagian Jerlun,” ujarnya.

 

TAGS