Malaysia Dateline

Shafie tidak layan cabaran Azmin

Cadangan Datuk Mohamed Azmin Ali agar Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berdebat dengan Datuk Seri Hajiji Mohd Noor untuk menentukan siapa calon ketua menteri Sabah yang lebih baik tidak diendahkan.

Bahkan, Shafie berkata, “Mereka boleh berdebat tapi saya mahu berjumpa pengundi,” ketika menjawab soalan media mengenainya.

Mohd Shafie berkata, lebih baik beliau turun padang bagi mendekati pengundi di peringkat akar umbi kerana Sabah adalah sebuah negeri yang besar.

“Mereka boleh berdebat tapi saya mahu berjumpa pengundi. Saya kena dekati pengundi di Sabah sebab Sabah sebuah negeri yang besar,” katanya sebagai respon terhadap cadangan Azmin yang mencabarnya untuk berdebat bersama Hajiji selaku Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah.

Kempen yang dibuat Azmin terus melukakan hati pemimpin dan penyokong Umno di Sabah kerana isu siapa calon ketua menteri jika Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) serta rakan-rakan mereka menang tidak pernah berbangkit sebelum hari penamaan calon.

Namun selepas penamaan calon selesai, tiba-tiba Presiden Bersatu yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan nama Hajiji sebagai calon PM.

“Masa bincang tiada isu calon ketua menteri. Lepas dah namakan calon, Muhyiddin umum Hajiji bakal ketua menteri,” kata bekas Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang kesal kerana Umno tidak boleh lagi meletakkan calon yang lebih ramai selepas penamaan calon telah tamat.

Umno hanya meletak 31 dari 73 kerusi yang ada dalam pilihan raya negeri Sabah kali ini.

Bagi Lokman, perkara yang sama akan berlaku dalam pilihan raya umum ke 15 nanti dan Umno akan terus dipermainkan oleh Bersatu jika senario di Sabah berulang.

“Kalau BN dengan PN berjaya bentuk kerajaan nanti, kita akan tunduk kepada Bersatu semula. Jika tidak Bersatu akan ugut kita untuk bekerjasama degan parti-parti PH, DAP ke atau Warisan untuk membentuk kerajaan,” kata Lokman.