Shafie yakin kerajaan persekutuan teruskan projek Lebuhraya Pan Borneo

Shafie yakin kerajaan persekutuan teruskan projek Lebuhraya Pan Borneo

Kerajaan negeri yakin pembinaan Lebuhraya Pan Borneo di Sabah akan diteruskan meskipun ia menjadi antara projek mega yang akan disemak semula oleh kerajaan persekutuan berikutan kekangan kewangan dihadapi negara ketika ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, yang sedang dilaksanakan ketika ini, akan diteruskan kerana projek berkenaan dilihat berupaya memberi manfaat kepada rakyat Sabah secara keseluruhannya.

“Saya yakin projek ini akan diteruskan, cuma mungkin oleh kerana masalah kewangan terbatas pada saat ini, sehingga gaji menteri (di peringkat persekutuan) pun dipotong. Jadi, bayangkan… banyak kekangan (kewangan),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Ramadan RTM di Kota Kinabalu hari ini lapor Bernama.

Turut hadir Ahli Parlimen Sepanggar Datuk Aziz Jamman dan Pemangku Pengarah Penyiaran Sabah Malinaziah Datu Mohd Julaspi.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri sekarang turut menghadapi banyak kekangan termasuk masalah hutang yang ramai tidak tahu mengenainya.

“Nanti saya akan perincikan berapa hutang Yayasan Sabah dan berapa hutang kerajaan negeri yang perlu dibayar,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, kerajaan negeri akan turut mengambil beberapa langkah termasuk menghentikan pengeksportan balak buat sementara waktu dan menyusun atur semula peranan Yayasan Sabah supaya lebih menjurus kepada kepentingan rakyat.

COMMENTS

Wordpress (0)