Shahrol Halmi bakal jadi kambing hitam dalam siasatan 1MDB

Shahrol Halmi bakal jadi kambing hitam dalam siasatan 1MDB

Siasatan fasa pertama ke atas skandal 1MDB, berdasarkan lima cadangan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), kini tertumpu kepada bekas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Halmi.

Siasatan terhad pihak polis ini telah lari dari cadangan asal PAC supaya bekas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Halmi dan mereka yang terlibat, tidak disiasat.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata berdasarkan cadangan PAC di bawah arahan kabinet, siasatan perlu berasaskan lima cadangan yang dikemukakan.

“Satu-satunya permohonan PAC yang tidak termasuk dalam lima cadangan itu ialah supaya bekas Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Halmi dan mereka yang terlibat, tidak termasuk dalam siasatan,” katanya seperti dilaporkan Roketkini.

Siasatan pihak polis ini ke atas skandal 1MDB katanya, bakal berakhir dengan menjadikan Datuk Shahrol Halmi sebagai kambing hitam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mendedahkan pada Jumaat lalu bahawa pihak polis telah melengkapkan siasatan fasa pertama ke atas 1MDB, berdasarkan lima cadangan PAC.

“Jelas bahawa Datuk Shahrol akan dijadikan kambing hitam bagi mengurangkan tekanan ke atas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak,” ujar Tony dalam satu kenyataan.

Bagi Pengerusi DAP Selangor itu, mereka yang berkuasa akan dapat mencuci tangan daripada skandal terbesar dalam sejarah negara apabila Datuk Shahrol dipenjarakan.

Namun persoalan yang bakal timbul ialah apakah motif Datuk Shahrol menggelapkan wang berbilion dolar itu sedangkan beliau tidak didedahkan sebagai penerima manfaat wang yang digelapkan terbabit, dalam saman sivil Jabatan Kehakiman Amerika (DOJ).

“Tidak ada beza dengan kes pembunuhan Altantuya pada tahun 2006, apabila Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar didapati bersalah membunuh wanita Mongolia tersebut.

“Bagaimanapun tidak ada motif yang dikemukakan oleh pihak polis dan pendakwa,” ujar beliau yang juga Setiausaha Publisiti DAP.

Tony menambah bahawa Shahrol tidak mempunyai motif dan tidak disenarai sebagai penerima manfaat dalam kes pengubahan wang haram 1MDB.

Sebaliknya yang disebut dokumen saman sivil DOJ sebagai penerima dana gelap terbabit ialah Low Taek Jho, Riza Aziz, Khadem AL-Qubaisi dan Mohammad Badawy AL-Husseiny; selain individu yang hanya dirujuk sebagai ‘Malaysian Official 1’ yang menerima sejumlah US$731 juta ke dalam akaun peribadinya.

“Shahrol hanya memainkan peranan kecil dalam skandal 1MDB,

“Adalah satu ketidakadilan yang sangat dahsyat, seperti dalam kes pembunuhan Altantuya, jika mereka yang benar-benar bersalah dan mendapat untung daripada jenayah tersebut akhirnya bebas,” tambah Tony

COMMENTS

Wordpress (0)