Malaysia Dateline

Shah Rukh Khan berdepan ancaman jika hadiri Hoki Piala Dunia

Pelakon terkenal Bollywood Shah Rukh Khan mungkin berdepan bantahan apabila menghadiri perasmian Kejohanan Hoki Piala Dunia 2018 di Bhubaneswar, Odisha, Rabu ini.

Pelakon tersebut dijangka ke upacara berkenaan selepas diundang oleh Ketua Menteri Odisha Naveen Patnaik namun sebuah kumpulan tempatan membantah kehadiran Khan susulan watak yang dipegangnya dalam filem Ashoka pada 2001.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka “Kalinga Sena” (tentera Kalinga) yang diambil daripada nama kuno Odisha, mendakwa bintang Bollywood tersebut mengguris sentimen rakyat menerusi filem itu yang memaparkan kisah Maharaja Ashoka dan usaha berdarahnya dalam menakluk Kalinga.

“Kami telah bersedia untuk membaling dakwat ke muka pelakon itu serta mengibarkan bendera hitam di tempat-tempat tertentu dari lapangan terbang ke stadium. Aktivis kami akan berada di sepanjang jalan yang mungkin dilalui Khan,” kata Kalinga Sena.

Kejohanan hoki tersebut akan berlangsung dari 28 Nov hingga 16 Dis.

Kejohanan itu disertai Malaysia, Argentina, Australia, Belgium, Kanada, China, England, Perancis, Jerman, India, Ireland, Belanda, New Zealand, Pakistan, Afrika Selatan dan Sepanyol.

Skuad Malayan Tigers yang diundi dalam Kumpulan D akan bertemu juara tiga kali Belanda dalam perlawanan pembukaan pada 1 Dis sebelum menentang juara empat kali Pakistan empat hari kemudian dan juara dua kali Jerman pada 9 Dis.

Malaysia mengintai kedudukan 10 terbaik dalam saingan 16 negara itu selepas menamatkan kempen di tempat terakhir daripada 12 negara pada edisi 2014 di The Hague, Belanda manakala pencapaian terbaiknya ialah di tangga keempat semasa negara menjadi tuan rumah pada 1975.

— BERNAMA