Shaharuddin ketua polis daerah Dang Wangi baharu

Shaharuddin ketua polis daerah Dang Wangi baharu

Timbalan Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) (Operasi) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah ACP Shaharudin Abdullah menerima tugas sebagai Ketua Polis Daerah Dang Wangi di sini hari ini.

Beliau menggantikan ACP Mohd Sukri Kaman yang akan bertukar jawatan sebagai Penolong Pengarah Pengurusan (Keselamatan/Sukan/Rekreasi), Bahagian Pentadbiran, Jabatan Pengurusan Bukit Aman.

Majlis serah terima tugas itu disaksikan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh.

Terdahulu, dalam ucapan perpisahannya Mohd Sukri mengingati pegawai dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi supaya meneruskan semangat kerja berpasukan tanpa mengira penugasan cawangan.

Beliau berkata pembentukan modal insan terutamanya aspek integriti dalam kalangan anggota antara kunci kejayaan bagi memastikan kadar indeks jenayah menurun.

“IPD Dang Wangi perlu meneruskan sasaran petunjuk prestasi utama (KPI) seperti yang ditetapkan pucuk pimpinan dan menambah baik kejayaan sedia ada agar imej akan melonjak tinggi pada masa depan, katanya.

Mohd Sukri yang telah berkhidmat di IPD Dang Wangi selama 11 bulan berkata beliau berjaya mencapai sasaran KPI yang ditetapkan Amar Singh.

Beliau berkata kadar jenayah indeks di daerah Dang Wangi pada tahun ini menunjukkan penurunan 27.1 peratus iaitu 2,680 kes bagi tempoh Januari hingga September berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Amar Singh yang turut menerima tugas sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman hari ini.

Kedua-dua pegawai kanan itu akan memulakan tugas secara rasmi berkuat kuasa 30 Okt ini.

Tempat Amar Singh akan digantikan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim.

CATEGORIES