Malaysia Dateline

Shahidan anggap Tajuddin “paling bodoh” pernah kumpul tandatangan jatuhkan Zahid

Pengerusi Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim mendakwa Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman pernah melakukan gerakan menjatuhkan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai Presiden Umno.

Shahidan berkata, Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno itu telah mengumpul lebih 80 tandatangan ketua Umno bahagian untuk menggugat jawatan Zahid.

“Yang paling bodoh ini Tajuddinlah kerana dia pernah buat gerakan ambil tandatangan ketua bahagian untuk jatuhkan presiden (Ahmad Zahid).

“Dia kumpul tandatangan bermula tahun lepas sebelum dilantik jadi pengarah pilihan raya. Lebih 80 bahagian tandatangan dia kumpul untuk jatuhkan presiden,” lapor Malaysiakini.

Turut membuat dakwaan sama terhadap Pengarah Pilihan Raya Umno itu adalah seorang Ahli MT parti yang tidak didedahkan namanya oleh Malaysiakini.

“Dia (Tajuddin) panggil ketua-ketua bahagian, kumpul di rumah dia untuk tandatangan SD (akuan berkanun untuk menolak Zahid),” ujarnya lagi.

MT Umno itu mendakwa pertemuan Tajuddin bersama ketua-ketua bahagian Umno itu dibuat sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, lantaran rasa tidak puas hati beliau tidak diberi jawatan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

LANJUT MENYUSUL