Malaysia Dateline

Shahidan anggap tidak sesuai Pemuda Pas bangkitkan isu agihan kerusi Parlimen

Agihan kerusi Parlimen pada PRU15 tidak wajar dikeluarkan memandangkan PRN Sabah masih lagi berlangsung, kata Pengerusi Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Bagaimanapun, kata Ahli Majlis Tertinggi Umno itu akan memutuskan kemudian soal perbincangan mengenai kerusi PRU15.

Reaksi Ahli Parlimen Arau itu susulan Muktamar Pemuda Pas baru-baru ini yang meluluskan usul supaya parti itu bertanding sekurang-kurangnya 50 kerusi Parlimen.

“Komen tersebut polemik politik yang tidak sesuai disebut semasa kempen (PRN Sabah) sedang berjalan.

“Jadi, polemik ini tidak perlu disebut kerana kempen sedang berjalan dan perbincangan mengenai kerusi semua ini akan dibuat oleh Muafakat Nasional (MN),” ujarnya.

Pas sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding di 10 kerusi daripada 73 DUN pada PRN Sabah kali ke-16.

Pada 12 September lalu, Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyentuh tentang ketiadaan peruntukan kerusi dalam PRN Sabah untuk parti itu di bawah Perikatan Nasional.

Berucap pada Muktamar Pemuda Pas, Ahli Parlimen Pasir Mas itu juga menyarankan Pas bertanding di kesemua kerusi Parlimen di Kelantan (14), Terengganu (8), Kedah (15) dan Perlis (3).

“Kita beri isyarat kepada yang lain bahawa kesabaran kita ada hadnya. Jangan menguji kesabaran pemuda-pemuda (Pas) kita.

“Saya nak mencadangkan di sini kerana kita dah diuji di Sabah, dan kita bersabar di Sabah, maka kita nak cadangkan bahawa Pas boleh bertanding 40 kerusi dengan selesa,” kata Ahmad Fadhli lagi sambil menyebutkan jumlah kerusi di kesemua empat negeri itu.