Shahidan dakwa ada pihak cuba memalukannya

Shahidan dakwa ada pihak cuba memalukannya

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim menganggap ada pihak cuba memalukan beliau berhubung waran tangkap dikeluarkan terhadapnya.

Begitupun, beliau enggan mengulas lanjut dan tidak pula menyebut siapakah yang dimaksudkannya.

“Mereka nak malukan saya,” katanya ringkas menerusi aplikasi WhatsApp, memetik laporan Astro Awani.

Malah, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut mengatakan ‘ALLAH tolong hamba yang dizalimi’.

Waran tangkap ke atas Shahidan dikeluarkan oleh Hakim Mahkamah Sesyen Kangar, Johari Abu Hassan selepas beliau gagal hadir pada prosiding pertuduhan kes dipercayai mencabul gadis bawah umur Oktober lalu.

Peguam Shahidan, Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim membantah pengeluaran waran tersebut atas alasan tidak dimaklumkan terlebih dahulu.

Difahamkan Shahidan menjalani ibadah umrah di tanah suci Makkah dan hanya tiba di Malaysia hari ini.

Sebelum ini tular dakwaan Shahidan mencabul seorang gadis berusia 15 tahun 11 bulan yang merupakan anggota kumpulan buskers yang ditaja beliau.

Bekas menteri itu bagaimanapun menafikan tuduhan yang didakwa berlaku pada 21 Oktober lepas, malah laporan polis terhadapnya oleh remaja itu telah ditarik balik.

Bapa remaja itu turut menyatakan bahawa perkara itu telah diselesaikan secara baik dan keluarga mereka anggap tidak ada apa yang perlu dihebohkan.

Selain Syed Muhammad Anwar, Shahidan turun diwakili peguam Zuhair Ahmad Zakuan dan Rabiatul Adawiah Ramli.

Zuhair berkata mahkamah tidak menarik kembali waran tangkap tersebut dan anak guamnya perlu hadir di Mahkamah Sesyen Kangar Isnin ini.

 

COMMENTS