Shahidan mahu Tun Mahathir fikir dua kali sebelum tubuh parti Melayu baharu

Shahidan mahu Tun Mahathir fikir dua kali sebelum tubuh parti Melayu baharu

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mahu Tun Dr Mahathir Mohamad berfikir dua kali sebelum menubuhkan parti baharu yang bertujuan menjatuhkan seorang pemimpin dan sebuah parti yang banyak berjasa kepada rakyat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim mahu Tun Dr Mahathir Mohamad berfikir dua kali sebelum menubuhkan parti baharu yang bertujuan menjatuhkan seorang pemimpin dan sebuah parti yang banyak berjasa kepada rakyat.

Keputusan bekas Perdana Menteri itu katanya, hanya merugikan rakyat negara ini.

“Tun kata nak jatuhkan pemimpin tetapi tindakan beliau dilihat ‘di luar kebiasaan’ kerana keputusan tersebut bukan sahaja hendak melanggar UMNO, malah mengheret sama rakyat pelbagai kaum.

“Biasanya penduduk pelbagai kaum disatukan atas dasar kasih sayang, bukan dengan kebencian,” ulas Shahidan mengenai cadangan penubuhan parti baharu yang menggabungkan pemimpin-pemimpin pembangkang itu.

Beliau ditemui pada program SEA-TVET 2016, iaitu pertukaran pelajar Kolej Vokasional (KV) Kedah/Perlis dan wilayah-wilayah Selatan Thai membabitkan Satun, Pattani dan Yala.

Sebanyak 97 pelajar dari tiga wilayah yang menyertai program itu ditempatkan di dua KV di Perlis dan enam KV di Kedah selama dua minggu untuk bertukar-tukar kemahiran dalam usaha mengantarabangsakan program vokasional.

Di PUTRAJAYA, Menteri Sumber Asli Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata memang tiada halangan untuk sesiapa sahaja menubuhkan parti baharu sejajar dengan konsep demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Anggota Parlimen Santubong, Sarawak dari Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) itu berkata, bagaimanapun, parti baharu itu perlu mempunyai visi yang jelas dan ada kapasiti serta stabil untuk terus wujud.

“Semasa berkhidmat sebagai timbalan menteri di Kementerian Dalam Negeri, saya melihat banyak senarai permohonan penubuhan parti politik baharu di seluruh Malaysia.

“Saya memberitahu kepada Menteri (Dalam Negeri) Datuk Seri Dr Zahid Hamidi bahawa penubuhan parti baharu ini macam kedai kopi..dia boleh buka hari ini, dia boleh tutup hari lain kalau tiada pelanggan,” katanya.

Beliau bercakap kepada media selepas majlis tanda tangan pembelian mesin kitar semua untuk buangan elektrik dan elektronik dari isu rumah dan perolehan semula klorofluorokarbon (CFC) oleh Shan Poornam Metals Sdn Bhd bersama dengan syarikat dari Jerman, ANDRITZ MeWa GmBH di sini Isnin.

“Jika mereka tidak boleh berjaya, parti itu akan mati dengan sendirinya. Tidak kurang daripada 70 parti baharu yang ditubuhkan sejak era 1960-an, dan kesemuanya sudah berkubur,” katanya.

Di KUALA NERUS, Kelab Veteran UMNO Terengganu yakin penubuhan parti baharu tidak akan menggugat kestabilan Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara.

Setiausahanya Razak Deraman berkata rakyat kini sudah pandai menilai dan hanya akan memberikan sokongan kepada parti yang banyak memberi manfaat kepada rakyat berbanding parti yang ditubuhkan dalam keadaan terdesak.

“Kita nampak kedudukan BN sekarang semakin kuat apabila memenangi dua pilihan raya kecil (Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar Perak) dan pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.

“BN menang besar dan ia menunjukkan rakyat menerima baik pemerintahan (BN),” katanya kepada Bernama.

TAGS