Shahidan tidak dimaklumkan keputusan lantik Azlan, dakwa Ketua Pemuda Umno Perlis

Shahidan tidak dimaklumkan keputusan lantik Azlan, dakwa Ketua Pemuda Umno Perlis

Pengerusi BN Negeri Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim didakwa tidak dimaklumkan mengenai keputusan untuk melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar (MB) Perlis yang baharu ketika menghadap Raja Perlis Selasa lalu.

Demikian dakwaan Ketua Pemuda Umno Negeri Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar dalam kenyataan beliau.

Malah dakwanya lagi, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein tidak memaklumkan Shahidan yang juga merupakan Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Perlis mengenai persetujuan mereka menerima cadangan lantikan semula Azlan sebagai MB yang baharu.

“Ahmad Zahid dan Hishammuddin menyatakan persetujuan cadangan untuk melantik Azlan sebagai MB yang baharu untuk penggal kedua ketika menghadap Tuanku Raja Perlis di Istana Arau pada Selasa lalu.

“Namun begitu, keputusan persetujuan tersebut tidak dimaklumkan kepada Shahidan dan juga Adun BN yang lain sehinggalah mereka mempertahankan sokongan kepada Datuk Ismail Kassim dengan pelbagai sebab dan alasan tersendiri.

Shahidan Kassim

“Seandainya Shahidan dimaklumkan mengenai persetujuan pucuk pimpinan BN memberi mandat kepada Azlan untuk menubuhkan kerajaan yang baharu, sudah pasti nadanya berbeza ketika berhadapan dengan pihak media sebaik sahaja perjumpaan dengan pucuk pimpinan parti selesai,” jelas Syed Atif.

Beliau juga berkata, ekoran persetujuan yang disuarakan Ahmad Zahid serta Hishammuddin, jemputan majlis angkat sumpah dan lantikan MB Perlis pun dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Walau bagaimanapun ujarnya, pada hari yang sama, satu mesyuarat bersama dengan pimpinan tertinggi BN diadakan di Kuala Lumpur, ketika majlis angkat sumpah MB Perlis yang baharu diadakan.

“Semua sembilan Adun BN menghadiri mesyuarat yang diadakan di ibu kota bagi berbincang dan mendengar amanat tertinggi parti.

“Dalam keadaan tidak dimaklumkan oleh pimpinan parti mengenai persetujuan dan keputusan menerima Azlan sebagai MB, mereka menyuarakan pandangan bahawa Azlan membelakangi parti dengan menerima pelantikan tersebut tanpa restu dan persetujuan pucuk pimpinan,” ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, kesemua sembilan Adun BN yang tidak menghadiri majlis angkat sumpah tersebut tidak harus dipersalahkan sepenuhnya.

Oleh kerana itu tambahnya, kedudukan kesemua Adun tersebut dalam keadaan tersepit kerana jemputan majlis angkat sumpah dan panggilan untuk bertemu dengan puncuk pimpinan parti diadakan pada masa yang sama.

Kemelut ini turut memberi tamparan hebat kepada BN Perlis yang turut mencalarkan imej mereka setelah wujudnya konflik yang dianggap biadap serta angkuh kepada Raja Tuanku Perlis.

Rentetan polemik tersebut, Adun Pakatan Harapan (PH) Kuala Perlis, Noor Azam Karap turut membuat laporan polis meminta supaya siasatan diadakan terhadap Pengerusi BN tersebut.

Selain itu, laporan polis juga dibuat terhadap Shahidan dan sembilan Adun BN tersebut oleh Syed Zolkeflee Syed Abdul Rahman Jamalullail serta mendesak mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail agar tampil memohon ampun kepada Tuanku.

0.0
OVERALL SCORE
Have no any user vote
CATEGORIES