Shahidan tidak dimaklumkan Umno sokong Azlan MB Perlis

Keputusan persetujuan pilih Azlan tidak dimaklumkan kepada Shahidan dan juga Adun BN, dakwa Pemuda Umno Perlis.

Ketua Pemuda Umno Perlis, Syed Atif Syed Abu Bakar berkata, persetujuan dua pemimpin Umno pusat melantik Datuk Seri Azlan Man sebagai Menteri Besar Perlis tidak dimaklumkan kepada Datuk Seri Shahidan Kassim.

Katanya, persetujuan itu dinyatakan Naib Presiden yang memangku tugas presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan naib presiden yang menjalankan tugas timbalan presiden, Datuk Seri Hishamuddin Hussein ketika mereka menghadap Raja Perlis.

“Ahmad Zahid dan Hishamuddin menyatakan persetujuan cadangan untuk melantik Azlan sebagai MB yang baru untuk penggal kedua ketika menghadap Tuanku Raja Perlis di Istana Arau pada selasa yang lalu.

“Namun begitu, keputusan persetujuan tersebut tidak dimaklumkan kepada Shahidan dan juga Adun BN yang lain sehinggalah mereka mempertahankan sokongan kepada Datuk Ismail Kassim dengan pelbagai sebab dan alasan tersendiri.

“Seandainya Shahidan dimaklumkan mengenai persetujuan pucuk pimpinan BN memberi mandat kepada Azlan untuk menubuhkan kerajaan yang baru, sudah pasti nadanya berbeza ketika berhadapan dengan pihak media sebaik sahaja perjumpaan dengan pucuk pimpinan parti selesai,” jelas Syed Atif.

Beliau juga berkata, ekoran persetujuan yang disuarakan Ahmad Zahid serta Hishamuddin, jemputan majlis angkat sumpah dan lantikan MB Perlis pun dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

Walau bagaimana pun, ujarnya, pada hari yang sama, satu mesyuarat bersama dengan pimpinan tertinggi BN diadakan di Kuala Lumpur, ketika majlis angkat sumpah MB Perlis yang baru diadakan.

“Semua sembilan Adun BN menghadiri mesyuarat yang diadakan di ibu kota bagi berbincang dan mendengar amanat tertinggi parti.

“Dalam keadaan tidak dimaklumkan oleh pimpinan parti mengenai persetujuan dan keputusan menerima Azlan sebagai MB, mereka menyuarakan pandangan bahawa Azlan membelakangi parti dengan menerima pelantikan tersebut tanpa restu dan persetujuan pucuk pimpinan, ” ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, kesemua sembilan Adun BN yang tidak menghadiri majlis angkat sumpah tersebut tidak harus dipersalahkan sepenuhnya.

Oleh kerana itu tambahnya kedudukan kesemua Adun tersebut dalam keadaan tersepit kerana jemputan majlis angkat sumpah dan panggilan untuk bertemu dengan puncuk pimpinan parti diadakan pada masa yang sama.

Kemelut ini turut memberi tamparan hebat kepada BN Perlis yang turut mencalarkan imej mereka setelah wujudnya konflik yang dianggap biadap serta angkuh kepada Raja Tuanku Perlis.

Rentetan polemik tersebut, Adun Pakatan Harapan Kuala Perlis, Noor Azam Karap turut membuat laporan polis meminta supaya siasatan diadakan terhadap Pengerusi BN tersebut.

Selain itu laporan polis juga dibuat terhadap Shahidan dan sembilan Adun BN tersebut oleh Syed Zolkeflee Syed Abdul Rahman Jamalullail serta mendesak mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan keputusan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail agar tampil memohon ampun kepada Tuanku.

MOHD ALI HASHIM

 

COMMENTS

Wordpress (0)