Shahril Shamsuddin tunai janji perkukuh Sapura Energy

Shahril Shamsuddin tunai janji perkukuh Sapura Energy

Sekiranya usaha mengurus Sapura Energy Bhd disamakan dengan mengemudi kapal besar menempuh ribut berikutan kesukaran dan tanggunjawab berat, maka ‘nakhodanya’ Tan Sri Shahril Shamsuddin, telah menunaikan janji bagi memperkukuh perniagaan selepas mengharungi tempoh yang sukar.

Ini terbukti hasil kejayaan syarikat itu meraih kira-kira RM4 bilion menerusi langkah terbitan haknya baru-baru ini dan melonjakkan prestasi suku ketiga (Q3) bagi tahun kewangan 2019 (FY2019) untuk memulihkan keadaan serta memperoleh lebih banyak kontrak walaupun dalam persekitaran perniagaan serba mencabar.

Merujuk terbitan hak itu misalnya, ia bukanlah mudah untuk mengumpul wang sebanyak itu dalam keadaan sentimen pasaran yang suram berikutan angkanya yang bukan RM400 juta sebaliknya RM4 bilion.

Walaupun tiga penaja jamin bersama mengambil sepenuhnya baki 18.5 peratus yang tidak diambil pelabur, langkah itu masih dilihat satu pencapaian besar.

Malah, bukanlah sesuatu yang biasa dalam mana-mana langkah pengumpulan modal untuk menyaksikan berlakunya keadaan terlebih langganan atau sebaliknya kerana kalangan pembiaya sememangnya menyedari kedua-dua kemungkinan tersebut.

Hakikat bahawa Permodalan Nasional Bhd (PNB) muncul sebagai pemegang saham terbesar Sapura Energy dengan pegangan 40 peratus juga sudah cukup untuk membuktikan ia telah melakukan pengiraan terperinci kerana perlu bertanggungjawab terhadap 13.2 juta pemegang unitnya.

Pegangan saham utama PNB dalam kumpulan perkhidmatan minyak dan gas (O&G) juga akan memastikan Sapura Energy dapat melaksanakan rancangan perniagaannya.

Bagi tempoh suku ketiga berakhir 31 Okt, Sapura Energy mengurangkan kerugian selepas cukainya kepada RM31.09 juta berbanding kerugian lebih ketara sebanyak RM274.40 juta setahun lepas.

Dinilai dari sudut sebelum cukai, ia mencatat keuntungan sederhana sebanyak RM40.3 juta berbanding kerugian berjumlah RM209.7 juta sebelum ini dan ini merupakan keuntungan pertama selepas mencatat kerugian pada empat suku berturut-turut.

Kalangan penganalisis yang mengikuti rapat prestasi kumpulan itu juga tidak pasti bagaimana keadaannya pada Q4FY19 – suku terakhir bagi tahun semasa, berikutan kitaran semula jadi industri O&G pada akhir tahun.

Namun, mereka berpendapat keputusan bagi tahun penuh itu mungkin dipengaruhi prestasi kurang memberangsangkan pada Q1 dan Q2FY2019.

Bagaimanapun, keseluruhan tahun itu sewajarnya lebih baik berbanding FY18 dan Sapura Energy dijangka menyaksikan keputusan lebih positif pada FY20 dan tempoh seterusnya berikutan beberapa faktor.

Jika diimbas hasil taklimat media pada akhir tahun lepas, Shahril yang menggalas tanggungjawab sebagai presiden dan ketua pegawai eksekutifnya serta pasukannya, telah mengemudi Sapura Energy ke tahap lebih baik dan mula meraih manfaat daripada strategi pelaburan agresif dilaksanakannya walaupun diasak penyusutan ketara dialami sektor O&G itu empat tahun lepas.

Ini menyebabkan kumpulan itu  melabur lebih banyak dalam aspek infrastruktur dan keupayaan modal insan bagi meletakkan kedudukan Sapura Energy bagi projek-projek dengan nilai lebih tinggi ketika pihak lain bertindak mengelaknya kerana harga O&G yang lebih rendah bagi tempoh 2014 hingga 2017.

Bagi Shahril, apa yang dilaksanakan Sapura Energy sebelum ini adalah untuk memperkukuh kedudukan kewangan dengan mengurangkan hutang daripada RM16.4 bilion kepada RM9.7 bilion menerusi langkah terbitan RM4 bilion, perolehan tunai RM4.1 bilion menerusi kerjasama dengan  OMV dari Austria menerusi usaha perniagaan huluan selain melabur dalam pasaran baharu.

Menyedari potensi pertumbuhan besar di Asia, beliau berkata OMV yang juga antara syarikat O&G terbesar di Eropah, telah memilih Sapura Energy daripada senarai panjang kira-kira 500 syarikat lain yang bersandarkan kepada rekod prestasi syarikat Malaysia yang kukuh.

Sapura Energy kini mengembangkan perniagaannya ke empat pelusuk dunia (kecuali Artik dan Antartika menurut Shahril) bagi mengendalikan peluang yang ada di pasaran lebih besar dan dengan nilainya dianggarkan US$350 bilion berbanding hanya US$38 bilion pada 2014.

Kemunculan peluang yang berlipat ganda itu hanya mendorong ‘selera’ Sapura Energy’ mencari peluang lebih besar ketika nilai perolehan kontrak kumpulan itu pada masa ini mencecah RM19.3 bilion dengan sebahagian besar kontrak itu bertumpu di Asia dan Amerika.

Sapura Energy turut meninjau peluang lebih baik di Afrika dan Timur Tengah, khususnya selepas berjaya layak sebagai kontraktor bagi projek luar pesisir  Saudi Aramco membabitkan kerja-kerja kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pemasangan (EPCI) di bawah program perjanjian jangka panjang (LTA).

Shahril turut berbangga dengan kejayaan Sapura Energy memasuki senarai LTA Saudi Aramco selain keupayaan meraih banyak kontrak lain pada tahun ini yang beliau sifatkan hasil kebolehan dan pengalaman kumpulan itu mendapat pelbagai kerja berkaitan perancangan, pemasangan peralatan, operasi dan pengurusan kawasan pengeluaran.

Sejajar kedudukannya sebagai syarikat perkhidmatan O&G, Sapura Energy memiliki lapan kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) di Malaysia, lima permit eksplorasi di New Zealand, tiga permit eksplorasi di Australia dan satu PSC di Mexico selain mengurus ruang fabrikasi, tongkang, pelbagai kapal berkaitan termasuk kapal pembinaan kecil lautan, kenderaan dasar laut yang dikawal secara jarak jauh, tender tongkang dan pelantar separa tenggelam dalam segmen kejuruteraan dan pembinaan serta penggerudian.

Di kawasan luar pesisir pantai Sarawak misalnya, Sapura Energy berjaya dalam usaha penemuan (sumber) gas di sembilan kawasan selepas membeli medan gas yang ditinggalkan manakala simpanan dan sumber bersih kumpulan itu pada masa ini mencecah 265 juta tong bersamaan minyak (mmboe) yang mampu bertahan selama beberapa tahun akan datang.

“Dalam persaingan ini, wujud juga elemen tuah selain kepakaran teknikal yang kami miliki,” kata Shahril.

Diminta mengulas keadaan penawaran dan permintaan O&G ketika ini, beliau menyamakannya dengan analogi ‘meminum daripada gelas yang kemudiannya perlu diisi semula.’

Pandangannya berasaskan fakta bahawa wujudnya keperluan berterusan terhadap tenaga seiring pertumbuhan ekonomi kerana keperluan kerajaan di serata dunia untuk memberi kehidupan lebih baik kepada rakyat masing-masing.

Keperluan sedemikian menyebabkan syarikat-syarikat O&G menggalas tugas untuk terus meninjau lebih banyak sumber tenaga selain mempertingkat pengeluaran mereka.

Ini ketara di negara yang mempunyai ramai penduduk dan perlu menyediakan persekitaran kehidupan lebih baik untuk rakyatnya sebagaimana di China dengan populasinya 1.42 bilion orang, India (1.35 bilion orang) dan  ASEAN (636 juta orang) yang memerlukan mereka berusaha mendapatkan sumber tenaga lebih bersih seperti gas.

“Ini bermakna kita perlu memastikan bekalan hidrokarbon mencukupi di pasaran tenaga,” katanya.

Menurut Shahril, jika syarikat tidak melabur, ini akan menyebabkan kekurangan bekalan.

Bagi menjelaskan permintaan dalam perspektif lebih tepat, Shahril berkata : “Katalah rumah anda memerlukan 10 mentol lampu bagi mendapatkan pencahayaan sempurna, terutama jika anak-anak perlu menyiapkan tugasan sekolah…sudah pasti anda tidak boleh menampungnya dengan hanya lima mentol, bukan?”

Mengulas ketidaktentuan harga O&G sejak kebelakangan ini, Shahril sebaliknya tidak melihatnya sebagai sesuatu yang ketara dan menyifatkannya impak spekulasi serta perbezaan pendapat dari segi geopolitik dan perdagangan.

Malah, beliau berasakan bahawa Sapura Energy berada dalam segmen perniagaan yang tepat serta persekitaran yang menyaksikan permintaan kukuh global terhadap tenaga.

Apa yang pasti, masa depan kumpulan itu kini bergantung kepada keupayaan Shahril dan pasukannya untuk mengemudi syarikat mengharungi cabaran sama ada dalam persekitaran baik atau sebaliknya.

— BERNAMA