Malaysia Dateline

Shahrir, Ahmad mengaku tidak bersalah, gagal isytihar wang diterima daripada Najib kepada LHDN

Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan iaitu gagal mengisytiharkan RM2 juta wang yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak dan memberi kenyataan palsu.

Bagi pertuduhan pertama, Ahmad didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan Bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ahmad dituduh melakukan perbuatan tersebut dengan tidak mengisytiharkan pendapatan yang telah diterimanya daripada bekas perdana menteri, Najib Razak berjumlah RM2 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013 dan ianya telah ditunaikan sendiri oleh tertuduh pada hari sama.

Tertuduh didakwa telah membabitkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta

Pada tarikh 30 April 2014, mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) Akta yang sama.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Azman Ahmad dan minta dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula, Ahmad dituduh memberikan kenyataan palsu ketika percakapannya dirakam di bawah peruntukan Seksyen 32 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) oleh pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd Zairi Zainal di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, antara jam 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani [email protected] manakala peguam Hamidi Mohd Noh mewakili Ahmad Maslan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan.

Manakala Shahrir dituduh melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan cara tidak melaporkan pendapatan sebenar di dalam Borang Nyata Cukai Pendapatan bagi Tahun Taksiran 2013 yang bertentangan dengan Seksyen 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967, iaitu tidak mengisytiharkan pendapatan yang diterima daripada Najib berjumlah RM1 juta melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov, 2013.

Cek itu kemudiannya telah dimasukkan ke dalam akaun Public Islamic Bank milik tertuduh pada 28 Nov 2013.

Oleh itu, tertuduh didakwa telah melibatkan diri secara langsung dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada sesuatu aktiviti haram.

Shahrir dituduh melakukan kesalahan itu di LHDN, Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 25 April, 2014.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman sama.

Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izhani Zainal @ Zainol dan Nik Haslinie Hashim yang mengendalikan kedua-dua kes menawarkan jaminan RM1juta dengan seorang penjamin kepada Ahmad dan RM500,000 kepada Shahrir kerana kesalahan dilakukan oleh kedua-dua tertuduh adalah serius.

“Sekiranya jaminan rendah diberikan, ianya akan membina satu persepsi kepada masyarakat yang menyebabkan sistem kehakiman dipandang rendah oleh orang awam,” kata Norzilati Izhani yang turut memohon supaya pasport antarabangsa kedua-dua tertuduh diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Hamidi Mohd Noh yang mewakili Ahmad berkata jumlah jaminan RM1 juta ditawarkan pendakwaan adalah terlalu tinggi dan tidak wajar dikenakan terhadap anak guamnya.

“Anak guam saya adalah Ahli Parlimen sejak 2008 sehingga sekarang dan tiada kemungkinan untuk beliau melarikan diri kerana pasportnya akan diserahkan kepada mahkamah,” katanya yang turut memaklumkan anak guamnya datang ke mahkamah secara sukarela selepas dibebaskan oleh SPRM semalam.

Hamidi turut dibantu barisan peguam iaitu Md Yunos Shariff, Mohd Shahrul Fazli, Aiman Abdul Rahman, Azlan Abd Roni dan Mohd Shahril Madisa.

Shahrir yang diwakili peguam Syahrul Syazwan Salehin, Fahmi Abd Moin dan Datuk Shaharudin Ali merayu jaminan yang rendah dengan alasan tertuduh adalah seorang pesara.

“Kami bersetuju menyerahkan pasport kepada mahkamah jika ia dapat mengurangkan jaminan itu kerana tertuduh terpaksa menggunakan duit simpanan hasil duit pencen bagi membayar jaminan itu nanti.

“Saya merayu jumlah jaminan yang rendah dapat diberikan kerana ia haruslah menepati tujuan sebenar ditetapkan,” kata Syahrul Syazwan.

Mahkamah membenarkan Ahmad dan Shahrir, masing-masing diikat jamin RM500,000 dan RM350,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu pasport mereka diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 21 Februari dan 24 Februari ini untuk sebutan kes.