Malaysia Dateline

Shahrir luah rasa kecewa Hasni bukan lagi MB, malu hadir PAU 16 Mac ini

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machap, Onn Hafiz Ghazi dikatakan mendapat perkenan sebagai menteri besar Johor yang baru bagi menggantikan Datuk Hasni Mohammad.

Menurut sumber dalaman Umno, bekas exco kerajaan negeri itu bakal mengangkat sumpah hari ini.

Bagaimanapun Ketua Bahagian Umno Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad meluahkan rasa kecewanya dengan konflik pelantikan Menteri Besar Johor yang baru selepas Umno BN memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan majoriti mudah.

Berikutan itu, menurut Shahrir beliau tidak akan hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang akan diadakan bermula 16 Mac ini.

Ini kerana katanya, sepanjang berkempen di PRN Johor beliau mentertawakan PN dan PH serta sekutu yang tidak mampu menamakan calon mereka sebagai menteri besar.

“Umno sudah pasti dengan Dato Hasni sebagai MB.

“Tapi itu tidak cukup kuat. Dan Umno Johor tidak mampu lakukan apa-apa.

“Jadi, saya malu hendak ke Perhimpunan Agung Umno Malaysia hujung minggu ni,” kata beliau.

Beliau turut menyifatkan Umno Johor tidaklah sekuat manapun kerana tidak berupaya meletakkan ketua parti sebagai ketua kerajaan.

“Patut saya juga jurucakap Umno Johor di PAU kali ini. Tapi kalau saya sudah malu nak ke PAU atas nama bahagian Umno dari negeri Johor, tak adalah saya nak cakap apa-apa pun.

Shahrir luah rasa kecewa Hasni bukan lagi MB, malu hadir PAU 16 Mac ini
Onn Hafiz bakal menggantikan Hasni sebagai Menteri Besar Johor yang baru

“Maaf kepada rakan-rakan. Saya sungguh malu dengan apa yang sudah berlaku selepas sebuah PRN yang kita menang dengan begitu cemerlang sekali dibawah kepimpinan Dato Hasni,”ujarnya lagi.

Terdahulu, beliau hanya mendengar khabar angin sahaja akan ada calon baru mengganti Menteri Besar Johor , akhirnya ia terbukti apabila Hasni telah mengeluarkan kenyataan bahawa beliau rela menyerahkan jawatan ketua kerajaan itu kepada orang muda.

Terdahulu, Umno dikatakan mengemukakan tiga nama iaitu penyandang, Hasni Mohammad, Mohd Puad Zarkashi dan Onn Hafiz sebagai calon menteri besar.

Bagaimanapun nama Onn Hafiz dikatakan telah mendapat perkenan istana.

Onn Hafiz yang berusia 43 tahun merupakan anak saudara kepada Hishammuddin Hussein dan cicit kepada Onn Jaafar yang mengasaskan Umno.

Pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Sabtu lalu, Onn menewaskan tiga pencabarnya di kerusi DUN Machap dengan majoriti 11,029 undi.