Malaysia Dateline

Shahrir Samad ingatkan MP Pasir Mas bahas ‘Hikayat PGL’ di peringkat jawatankuasa

Selepas selesai perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat dasar, analogi Ahli Parlimen Pasir Mas tentang hikayat Puteri Gunung Ledang (PGL) boleh lah terus digunakan untuk perbahasan di peringkat Jawatankuasa nanti, kata pemimpin Umno.

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata, pemuda Pas yang menggunakan analogi berkenaan, boleh lah membangkitkan soal-soal pengurusan dan perbelanjaan pembangunan ketika perbahasan di peringkat Jawatankuasa nanti.

“Masa penelitian dan perbahasan di peringkat Jawatankuasa inilah, Pasir Mas boleh bangkitkan soal berapa banyak dulang hati nyamuk dan sama ada nak bina jambatan emas atau jambatan simen je.

“Hati nyamuk ini macam perbelanjaan mengurus. Pembinaan jambatan emas ibarat perbelanjaan pembangunan.

“Sama ada menteri-menteri yang jaga perbelanjaan layak atau tidak, juga boleh dipersoalkan di perbahasan peringkat Jawatankuasa,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya.

Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) telah meletakkan syarat hanya akan menyokong belanjawan sekiranya kerajaan meluluskan pengeluaran kumpulan wang simpanan pekerja (KWSP) Akaun 1 dan lanjutan automatik moratorium.

Ahmad Fadhli Shaari kemudian menyifatkan sokongan bersyarat BN terhadap Belanjawan 2021 sebagai janggal dan ibarat hikayat Puteri Gunung Ledang.

“Saya rasa ia seperti (hikayat) Puteri Gunung Ledang yang meminta Sultan Melaka membuat jambatan (emas), hidangan (hati) nyamuk sekian, namun bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda untuk tolak pinangan itu,” katanya.

Justeru sindir Shahrir, soal Sultan hendak berkahwin dengan Puteri Gunung Ledang sudah pun lulus.

“Sekarang soal hantaran dan juga soal rombongan Sultan ke Gunung Ledang,” katanya lagi.