Shahrir Samad tidak serius cegah ketirisan Felda

Shahrir Samad tidak serius cegah ketirisan Felda



Rafizi Ramli

Pengerusi baru Felda Tan Sri Shahrir Samad perlu serius membanteras penyelewengan, pembaziran dan ketirisan dalam agensi itu dengan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terlibat atau sekurang-kurangnya menghentikan amalan boros dan pembaziran di dalam kumpulan Felda.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli sebaliknya kesal kerana Shahrir memperlekehkan gesaan yang dibuat Pengarah Eksekutif National Oversight & Whistleblowers (Now) Akmal Nasir agar tindakan undang-undang diambil ke atas mereka yang terbabit dengan ketirisan dan penyelewengan dalam kumpulan Felda.

Oleh itu, Rafizi yakin pelantikan Shahrir bagi menggantikan Tan Sri Isa Samad hanya bertujuan meredakan kemarahan rakyat terutamanya peneroka Felda menjelang pilihan raya umum (PRU14).

“Keikhlasan beliau (dan Umno) untuk menyelamatkan Felda dinilai dari kesungguhan beliau (Shahrir) membersihkan Felda dari penyelewengan, pembaziran dan ketirisan; termasuklah mengambil tindakan terhadap mereka yang terbabit.

“Kalau pun beliau tidak berani mengheret mereka ini ke muka pengadilan, sekurang-kurangnya beliau perlu menunjukkan kesungguhan untuk menghentikan amalan boros dan pembaziran di dalam kumpulan Felda,” ujarnya.

The Troika terletak berhampiran KLCC dan ibu pejabat Felda.

Ahli Parlimen Pandan itu turut membangkitkan pendedahan beliau pada 18 Mei 2016 tentang Felda Global Ventures (FGV) yang membeli dua unit kondominium mewah di The Troika yang masing-masing berharga RM5,143,902 (Unit A-20-2) dan RM3,283,770 (Unit B-10-3).

The Troika, jelas beliau adalah bangunan kondominium mewah berdekatan KLCC dan berada setentang dengan ibupejabat Felda yang baru.

Menurut Rafizi, beliau tidak mengambil sebarang tindakan lanjut mengenai perkara itu kerana beranggapan pengurusan Felda dan FGV telah melupuskan kondominium-kondominium mewah ini kerana ia jelas tidak memanfaatkan sesiapa kecuali pengurusan terkanan FGV.

Bagaimanapun semakan beliau terhadap laporan kewangan FGV yang diaudit bagi tahun berakhir 31 Disember 2015 menunjukkan dua unit kondominium itu masih lagi belum dijual.

“Oleh kerana Laporan Kewangan FGV 31 Disember 2016 masih belum disiapkan dan laporan terkini diedarkan sebulan sebelum saya membongkarkan mengenai dua buah kondominium ini, saya menggesa Tan Sri Isa Samad (Pengerusi FGV) dan Tan Sri Shahril Samad (Pengerusi Felda) mengesahkan sama ada kedua-dua buah kondominium itu telah dijual.

“Jika telah dijual, berapa pula kos yang ditanggung setiap tahun kerana setakat 31 Disember 2015 sahaja (rujuk Nota 20, mukasurat 251 Laporan Kewangan FGV 2015), kedua-dua buah kondominium itu tidak menjana apa-apa hasil kepada FGV dan memakan kos penyelenggaraan RM66,000 setahun,” ujarnya.

Menurut Rafizi, sekiranya FGV masih belum menjual dua kondominium mewah itu, kesungguhan Shahrir mengarahkan agar ia dilupuskan akan diperhatikan rakyat.

TAGS