Malaysia Dateline

Zambry dipuji kerana kejujurannya akui masalah pembantu rumah Indonesia

Ketua Umno bahagian Johor Bahru Tan Sri Shahrir Samad telah memuji tindakan Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yang mengamalkan politik jujur di dalam usaha mengeratkan lagi hubungan dua hala Malaysia – Indonesia.

Zambry yang ke Jakarta semalam mengakui kepincangan sistem keadilan Malaysia dalam memastikan keadilan diberikan dalam kes penderaan pembantu rumah warga Indonesia, Adelina Lisao yang telah meninggal dunia pada 2018.

“Apabila Dr Zambry selaku Menteri Luar yang baru bersedia mengaku dihadapan rakan sejawatannya di Indonesia bahawa adanya kepincangan sistem keadilan negara yang telah membawa akibat buruk kepada warga Indonesia yang bekerja sebagai pembantu rumah, mungkin dapat dipulih balik hubungan Malaysia Indonesia,” kata Shahrir dalam laman media sosial Facebooknya.

“‚Ķpihak penggendali keadilan negara – dari mahkamah hinggakan kepada pendakwaraya – perlu bermuhasabah diri masing-masing juga. Apa pun, tahniah Dr Zambry, kerana tidak berada dalam penafian kepada sesuatu yang hakikat.”

Shahrir berkata demikian dengan merujuk kepada kes pembantu rumah Indonesia Adeline Lisao yang didera hingga meninggal dunia dalam tahun 2018.

Semalam Zambry berkata pihaknya akan mengkaji semula kes-kes penderaan pembantu rumah demi memastikan keadilan boleh ditegakkan.

Indonesia dan Malaysia telah menandatangani perjanjian persefahaman berkaitan perlindungan pembantu rumah Indonesia pada 1 April.