Shahrizat tolak tawaran bertanding di Bandar Tun Razak

Shahrizat tolak tawaran bertanding di Bandar Tun Razak

Selepas menolak tawaran bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar sebelum ini, Ketua Wanita Pergerakan Umno, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil mengumumkan beliau juga tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam status yang dimuat naik di akaun Facebooknya,hari ini, Shahrizat berkata beliau tidak akan menerima tawaran untuk bertanding di Bandar Tun Razak walaupun yakin kawasan itu boleh dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN) daripada PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ramai yang tanya saya adakah saya akan terima tawaran untuk bertanding di Parlimen Tun Razak? Jawapan saya tidak, walaupun Bandar Tun Razak adalah satu kawasan di mana Barisan Nasional boleh menang dan tewaskan PKR,” katanya.

Sebelum ini, Shahrizat dikatakan akan dicalon bertanding di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang secara tradisinya ditandingi wakil daripada MCA.

Umno mahu meletakkan calonnya atas alasan mendapat sokongan baik masyarakat Melayu setempat.

Bulan lalu, Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus, mempelawa Shahrizat bertanding di Parlimen Sungai Besar.

Shahrizat adalah ahli Umno Kepong yang menceburi arena politik pada 1982 sebagai Ketua Wanita Umno Cawangan Kepong Baru. Beliau dipinjamkan ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika PRU 1995.

Sejak itu, Shahrizat yang menjadi calon payung terjun, memenangi tiga penggal pilihan raya di Parlimen Lembah Pantai sekali gus, menyandang jawatan Ketua Wanita Umno.

Pada 1995, beliau mengalahkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas, yang mewakili Parti Semangat 46 dengan majoriti 13,361 undi.

Pada PRU 1999, Shahrizat menumbangkan calon PKR, Zainur Zakaria, dengan majoriti 1,417 undi dan menang besar pada PRU 2004 mengalahkan bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Sanusi Osman, yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 15,288 undi.

Bagaimanapun, Shahrizat kalah dengan majoriti 2,895 undi kepada Nurul Izzah Anwar (PKR) pada PRU 2008. Pada PRU-13, Shahrizat tidak bertanding di mana-mana kawasan.

CATEGORIES
TAGS