Malaysia Dateline

Shahruddin jumpa Tun Mahathir lepas letak jawatan

Sejurus meletak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya, Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh menemui Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Al-Bukhary hari ini.

“Selamat kembali,” ciap Twitter Dr Mahathir berserta sedutan video Shahruddin yang sedang bergerak menemui bekas Perdana Menteri itu.

Video yang berdurasi hampir seminit dan dilatari lagu rasmi Bersatu, “Perjuangan Kita” menunjukkan Shahruddin bertandang ke pejabat Mahathir dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial.

Mereka kelihatan tidak bersalaman pada awal pertemuan sebaliknya Shahruddin yang berkemeja batik biru tua terlebih dahulu membongkokkan badan serentak dengan tangan ke dada sejurus masuk ke bilik pejabat Mahathir.

Untuk rekod, Mahathir mendakwa beliau masih Pengerusi Bersatu tetapi Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menegaskan peletakan jawatan Mahathir sebagai Pengerusi pada 24 Februari lalu adalah sah mengikut perlembagaan parti itu, dan telah pun diperakui oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Hari ini Shahruddin yang juga bekas Setiausaha Agung Bersatu mengumumkan peletakan jawatannya yang dilantik oleh Perdana Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia itu mengakui telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat sebelum ini apabila menyertai kerajaan PN yang diterajui Muhyiddin Yassin.