Malaysia Dateline

Shahruddin letak jawatan, anggap kurang tepat sertai PN

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh hari ini mengumumkan untuk meletakkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya sekaligus meninggalkan gabungan Perikatan Nasional (PN).

Shahruddin berkata beliau telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai kerajaan PN.

“Saya seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi-pengundi di Parlimen Sri Gading P149 telah memilih parti Pakatan Harapan dalam PRU14.

“Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh Perdana Menteri dari kerajaan PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dengan perletakan jawatan Shahrudin, ini bermakna beliau kembali menyokong Pakatan Harapan (PH).

Pada 19 Mei, Shahruddin bersama lagi 26 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu mengeluarkan kenyataan bersama untuk menyokong pentadbiran Muhyiddin.

Ia termasuklah Ketua Srikandi, Datuk Seri Rina Harun, Naib Presidennya sendiri, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, dan juga Ketua Penerangan, Dr Radzi Jidin.

Ini menyebabkan Bersatu berpecah kepada dua kem dengan majoriti MPT dilihat bersama Presiden parti dan sebahagian lagi bersama dengan Pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Namun, kelmarin, Shahruddin memaklumkan bersedia untuk melepaskan jawatannya jika tindakannya itu dapat mengukuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Katanya, ia dilakukan demi rasa sayangnya kepada parti dan tidak mahu melihat Bersatu berpecah-belah serta berlaku serang menyerang yang memalukan.